fbpx
Home ยป Mesin air mineral dipenuhi najis cicak, serangga
Am Berita Dalam Negara

Mesin air mineral dipenuhi najis cicak, serangga

Kotor, mesin jual air masih beroperasi walaupun berhabuk dan dipenuhi najis cicak. FOTO Essa Abu Yamin

Muar: Dipenuhi najis cicak dan serangga. Demikian keadaan sebuah mesin air mineral alkali tanpa lesen Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar yang dikesan beroperasi di sebuah kedai makan di Parit Perupok dekat sini.

Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, Dr Mohd Ridzuan Mohd Lutpi berkata, ia susulan Operasi Lak/Sita Mesin Jual Air (MJA) yang dilakukan ke atas perniagaan air nano automatik.

Katanya, mesin air yang beroperasi sejak Mei 2020 itu dihentikan sementara waktu sehingga pemilik selesai memohon lesen mengikut Peraturan 360C(4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengendali mesin air berusia 30-an berkenaan dikompaun RM2,000 selain arahan penutupan operasi sehingga dia memperoleh lesen sah daripada PKD,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, ia sebagai jaminan mesin air mineral yang beroperasi di sekitar daerah Muar berada dalam keadaan bersih.

“Kegagalan pemilik memohon lesen mengendalikan MJA menyebabkan mesin berada dalam keadaan terbiar sekaligus memberi risiko kepada kesihatan pembeli.

“Sebanyak lima mesin air di sekitar daerah ini dikesan beroperasi tanpa lesen selain tahap kebersihannya yang tidak memuaskan,” katanya.

Beliau berkata, lima mesin berkenaan diperiksa di Jalan Salleh, Jalan Temenggong Ahmad dan Sungai Abong, manakala dua daripadanya beroperasi tanpa lesen dan dua Notis 32B dikeluarkan kepada setiap pemilik dengan kesalahan boleh dikompaun RM2,000 bagi setiap mesin.

“Pemilik mesin air mineral yang beroperasi tanpa kebenaran akan diambil tindakan dan tiada kompromi dalam perkara ini. Orang awam dinasihatkan supaya membeli air melalui mesin yang mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

hmetro

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!