fbpx
Home » Muhyiddin santuni rakyat di Pagoh
Amal dan Kebajikan Perikatan Nasional Politik

Muhyiddin santuni rakyat di Pagoh

Muhyiddin berkata beliau turut menyertai bakal jemaah haji yang terpilih dalam majlis tahlil dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang menunaikan ibadah tersebut.

PAGOH – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni rakyat di sekitar Parlimen Pagoh semalam.

Beliau juga menyumbang 78 ekor lembu untuk ibadah korban yang akan diagih-agihkan kepada surau dan masjid di Parlimen Pagoh sempena Hari Raya Adil Adha bulan depan.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya meluangkan masa menghadiri beberapa program masyarakat di sekitar Parlimen Pagoh.

“Pada sebelah pagi, saya menyantuni murid dan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Pasir dalam program Jalinan Mesra Komuniti Parlimen Pagoh,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata beliau turut menyertai bakal jemaah haji yang terpilih dalam majlis tahlil dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang menunaikan ibadah tersebut.

Beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang akan berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar mereka diberi kesihatan sepanjang berada di sana dan dapat menunaikan Rukun Islam Kelima itu dengan sempurna dan diberikan Allah haji yang mabrur,” katanya.

Dalam program masyarakat di Parlimen Pagoh, Muhyiddin berkata beberapa aktiviti disusun dalam program itu antaranya peraduan melukis dan mewarna serta demonstrasi robotik oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat.

Katanya, selain itu terdapat aktiviti lain dijalankan seperti pertandingan bola sepak, bola jaring dan kriket.

“Saya kagum dengan bakat dan kreativiti para peserta yang mengambil bahagian dalam demonstrasi robot walaupun kebanyakan mereka masih di bangku sekolah.

“Semoga daya kreativiti ini dapat diteruskan apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.

Muhyiddin juga berkata dalam program semalam beliau turut menyertai penduduk Kampung Paya Panjang bersolat Jumaat di Masjid As Syakur sebelum makan tengah hari bersama kepimpinan BERSATU Bahagian, Srikandi dan Armada Bahagian Pagoh.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!