fbpx
Home ยป Pegawai polis, empat sahabat bebas tuduhan membunuh
Berita Dalam Negara Isu & Kontroversi

Pegawai polis, empat sahabat bebas tuduhan membunuh

– Foto hiasan

SEREMBAN: Seorang pegawai polis bersama empat individu lain, terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh tiga lelaki, kira-kira tujuh tahun lalu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pegawai polis, S Selvakumar, 45, bersama tiga beradik yang juga peniaga besi buruk, N Rajasakanan, 43; N Sureshkannah, 42 dan N Thanabalan, 35 serta pemandu lori, R Veeramuthu, 56.

“Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima orang kena tuduh (OKT). Mereka dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

“Adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi utama pendakwaan dan keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan atas penemuan mayat-mayat tersebut juga tidak boleh diterima kerana pihak polis terlebih dahulu menjumpai mayat-mayat itu dan bukan ditunjuk oleh kesemua OKT,” katanya ketika mengumumkan keputusan kes itu, hari ini.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa membunuh K Thinesh, M Tansewaran dan P Kartisan di antara jam 6 pagi hingga 11 malam di atas bukit dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Seremban-Mantin pada 25 Februari 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan bermula Januari 2020, seramai 20 saksi termasuk Pakar Patalogi dan Antropologi Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dipanggil untuk memberi keterangan.

Sepanjang prosiding, Selvakumar diwakili peguam bela, Datuk KL Chee, manakala Sureshkannah dan Thanabalan diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Sementara itu, Veeramuthu dan Rajasakanan pula diwakili peguam, Paul Krihsnaraja dan Amy Chong.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abd Majib.

BH

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!