fbpx
Home » Pemandu treler nahas tragis 5 pelajar USAS dijangka didakwa seawal Selasa
Am Berita Dalam Negara Kemalangan

Pemandu treler nahas tragis 5 pelajar USAS dijangka didakwa seawal Selasa

Jenazah Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, sedia untuk disolatkan oleh ratusan jemaah di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, di sini, malam tadi selepas proses bedah siasat dan pengecaman identiti tiga mayat itu selesai malam tadi. STR/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

KUALA KANGSAR: Pemandu treler muatan besi terbabit nahas di KM24.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, dijangka dituduh di mahkamah, seawalnya Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya berikutan kertas siasatan kes akan diserahkan kepadanya pada Selasa.

“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa. Jika beliau berpuas hati, suspek akan dituduh pada petang Selasa.

“Esok, kita akan bawa suspek ke (Mahkamah) Majistret untuk permohonan sambung reman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata, pemandu treler berusia 28 tahun itu direman empat hari bermula Khamis hingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan polis sebelum ini mendapati pemandu berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman dengan 21 daripada jumlah saman itu sudah dibayar termasuk lapan saman kesalahan kerana memandu laju.

Suspek dilapor turut mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus dijangka memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu miliknya.

Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar Bakhtiar berkata, kelima-lima jenazah sudah diserahkan kepada waris masing-masing dengan jenazah terakhir diserahkan jam 8 malam tadi selepas selesai proses pengecaman identiti di Unit Forensik Hospital Taiping.

Dalam kejadian jam 12.52 tengah malam Khamis lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler muatan besi dari arah belakang ketika melalui kawasan penyelenggaraan jalan dikendalikan PLUS Berhad.

Kelima-lima mangsa itu dikenal pasti sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, yang kesemua mereka adalah penuntut di USAS.

BH

Semua Topik

error: Content is protected !!