fbpx
Home ยป Pembahagian kerusi dengan BERSATU sudah dibincang – PAS
Berita Dalam Negara Politik

Pembahagian kerusi dengan BERSATU sudah dibincang – PAS

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU: PAS sudah berbincang mengenai pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) dengan BERSATU untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata bagaimanapun perbincangan awal itu masih tiada keputusan yang muktamad.

Katanya, beliau tidak terbabit dalam jawatankuasa membincangkan pembahagian kerusi yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama beberapa lagi pemimpin parti itu.

“Mungkin dalam tempoh beberapa lama lagi barulah boleh buat keputusan yang muktamad berhubung pembahagian kerusi berkenaan.

“Maklumat lengkap saya tiada, namun perbincangan awal (pembahagian kerusi) sudah ada. Agihan kerusi dan jumlah itu tidak ada lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengenai ada desakan meminta supaya PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat, Mohd Amar berkata, UMNO saja yang meminta supaya pilihan raya diadakan dengan cepat.

“Orang lain tak nak cepat dan Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sendiri menyebut (PRU-15) diadakan sehingga akhir penggal.

“Lagipun kita ada tempoh masa setahun lagi dan Mei ini baru cukup empat tahun. Jadi, kita hanya ada satu tahun lagi, takkan kita tak boleh tunggu setahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan dasarnya dan membetulkan keadaan ekonomi.

“Bagi saya kita beri ruang kepada Perdana Menteri dan itu lebih baik sebab beliau juga mempunyai idea. Kalau kita buat pilihan raya dalam tempoh ini, perancangan yang Perdana Menteri ada tidak boleh berjalan.

“Itu pandangan kita, namun kuasa ada pada Perdana Menteri dan kita tunggu sampai habis. Kalau empat tahun kita boleh tunggu, takkan setahun tidak boleh tunggu,” katanya.

BH

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!