fbpx
Home » Pemimpin Asia Barat sedih pemergian Presiden UAE
Berita Luar Negara

Pemimpin Asia Barat sedih pemergian Presiden UAE

Gambar dikeluarkan agensi berita WAM menunjukkan solat jenazah Sheikh Khalifa di Abu Dhabi, semalam. – FOTO EPA

KAHERAH: Pemimpin di seluruh Asia Barat semalam menzahirkan kesedihan atas pemergian Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan yang meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas bertahun-tahun menderita sakit, lapor Xinhua.

“Saya amat berdukacita atas kehilangan Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan,” kata Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Sheikh Khalifa sering mengadakan kerjasama dengan negara Arab dan mengutamakan hak serta kepentingan Arab, dan akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang mengutamakan perpaduan.

“Bagi pihak saya dan rakyat Mesir, saya mengucapkan takziah kepada kepimpinan serta rakyat UAE atas kehilangan besar itu,” katanya.

Pengerusi pertubuhan pan-Arab itu turut mengisytiharkan perkabungan rasmi selama tiga hari dan bendera dikibarkan separuh tiang.

Amir Kuwait, Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah turut mengucapkan takziah dan mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari, lapor Agensi Berita Kuwait (KUNA).

“Negara-negara Arab dan Islam kehilangan seorang pemimpin hebat yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Kuwait akan mengibarkan bendera separuh tiang, manakala jabatan kerajaan cuti berkabung tiga hari mulai semalam.

Negara Teluk yang berjiran, Bahrain dan Oman juga mengumumkan perkabungan rasmi selama tiga hari.

Presiden Lubnan, Michel Aoun, mengucapkan takziah dan memaklumkan bahawa Lubnan akan berkabung di seluruh negara.

Aoun berkata, negara-negara Arab akan merindui Sheikh Khalifa yang sentiasa menyokong perjuangan Lubnan dan rakyat negara itu akan merindui keikhlasannya.

Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE mengumumkan kematian Presiden, semalam, dan mengesahkan perkabungan rasmi selama 40 hari dengan bendera di seluruh UAE dikibar separuh tiang, manakala semua kementerian persekutuan dan tempatan serta sektor swasta cuti berkabung selama tiga hari.

Sheikh Khalifa mula mengambil alih kuasa perlembagaan persekutuan sebagai Presiden kedua UAE dan menjadi pemerintah ke-16 Emirat Abu Dhabi pada 3 November 2004, menggantikan bapanya, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan. – BERNAMA

BH

About the author

Admin Wa

Add Comment

Click here to post a comment

Semua Topik

error: Content is protected !!