fbpx
Home » Pemuda tahan pemandu lori selepas tekad kejar 40km
Am Berita Dalam Negara Kemalangan

Pemuda tahan pemandu lori selepas tekad kejar 40km

DUNGUN: Seorang pemandu lori yang terbabit kemalangan maut dengan penunggang sebuah motosikal di Kilometer 335.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2, dekat Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Paka, tengah malam tadi, ditahan selepas cuba melarikan diri.

Pemandu lori berusia 42 tahun, yang dipercayai bawah pengaruh alkohol itu ditahan seorang pemuda, Mohd Kamaruzzaman Mohd Kamarul Ariffin yang nekad mengejar pemandu lori itu sejauh hampir 40 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Dalam nahas kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, penunggang motosikal, Muhammad Haziq Abdul Halim, 20, maut selepas melanggar bahagian belakang lori terbabit.

Mangsa yang parah pada kepala, muka, patah kedua-dua tangan dan kaki kiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Kamaruzzaman, 35, seorang pemandu trak tunda yang tinggal di Kuantan berkata, sebelum kejadian dia yang memandu kereta bersama isterinya dalam perjalanan ke Kota Baharu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terserempak dengan satu kemalangan sebelum memberhentikan kenderaannya.

“Saya dapati seorang pemuda (mangsa) telah meninggal dunia dan ketika itu saya dapati lori itu dimatikan enjin dan pemandunya sedang lena tidur.

“Saya sangat pelik kenapa pemandu lori itu tidur di tengah lebuh raya dalam keadaan enjin lori dimatikan dan lampu hadapan dan belakang kenderaannya tidak dipasang”, katanya ketika ditemui di Plaza Tol Bukit Besi.

Katanya, dia ketika itu berusaha menutup mayat mangsa sambil meminta rakan-rakan mangsa mengejutkan pemandu lori itu untuk meminta pemandu lori itu mengalihkan lorinya ke tepi.

“Ketika rakan mangsa mengejutkan pemandu lori itu, pemandu terbabit menghidupkan kenderaannya sebelum memecut melarikan diri.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya meminta rakan-rakan mangsa menghubungi polis dan sebaik saya menutup mayat mangsa, saya memecut kereta dan mengejar lori itu,” katanya.

Katanya, lori itu dipandu sangat laju dan dia mengejar serta beberapa kali memotong lori berkenaan sambil menjerit meminta pemandu terbabit memberhentikan kenderaannya.

“Sepanjang 40 km mengejarnya, pemandu lori itu beberapa kali cuba menghimpit dan melanggar kereta saya dan saya sambil mengejar sambil menenangkan isteri saya yang ketakutan.

“Saya melentangkan kereta saya dan sanggup berdepan risiko sekiranya lori itu merempuh kereta saya,” katanya.

Mohd Kamaruzzaman berkata, pemandu lori terbabit akhirnya memberhentikan lorinya dan dia mengiringi lori itu sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi.

“Saya kemudian menghubungi pihak polis dan sebaik anggota polis trafik tiba, saya serahkan lelaki itu kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Katanya, ketika kejadian pemandu lori terbabit dalam perjalanan menghantar barangan sejuk beku dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

“Pemandu terbabit kemudian ditahan dan hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Kita turut mengambil sampel darah pemandu terbabit dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Muhammad Firdaus Abdul Halim, 17, berkata ketika kejadian dia bersama arwah serta empat lagi rakan berkonvoi dari Kampung Atas Tol untuk makan nasi lemak di R&R Paka.

“Kami masing-masing menunggang motosikal bersendirian dan ketika kejadian saya berada di hadapan.

“Abang ketika itu berada di belakang saya dan saya dan kawan-kawan juga nyaris melanggar lori terbabit namun berjaya mengelak,” katanya.

BH

Semua Topik

error: Content is protected !!