fbpx
Home » Penganggur ditahan miliki tujuh kilogram syabu
Berita Tempatan Jenayah

Penganggur ditahan miliki tujuh kilogram syabu

RAMPASAN: Jasmin (tengah) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berdepan hukum gantung sampai mati selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat tujuh kilogram bernilai RM258,948, di sini minggu lalu.

Suspek seorang penganggur berumur 20 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Stephen Tan, pada jam 2.10 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata tangkapan dan rampasan itu adalah hasil siasatan dan maklumat daripada orang awam.

Katanya, pasukan polis yang menjalankan serbuan di lokasi kejadian berjaya menangkap suspek dan merampas sebuah kotak pembesar suara (speaker).

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemukan dua bungkusan plastik teh cina yang disembunyikan di dalam alat pembesar suara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi dadah jenis syabu seberat 2,036.41 gram,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan ke atas suspek juga membawa kepada penemuan 5,156.9 gram lagi dadah jenis syabu yang dibungkus dalam lima plastik teh cina di sebuah rumah di Batu 3 Jalan Apas pada hari yang sama.

“Suspek dan semua 7,193.31 gram dadah jenis syabu berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan telah mendapat perintah reman selama tujuh hari sehingga esok (1 jun).

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau bukan dadah dan ujian air kencing suspek juga didapati negatif Methamphetamine,” katanya.

Jasmin berkata semua dadah berkenaan disyaki dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang dan untuk pasaran di daerah ini.

Katanya, siasatan awal juga mendapati, suspek adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sindiket yang terbabit dalam kes ini.

“Mengikut jumlah keseluruhan rampasan dadah jenis syabu berkenaan dapat dibekalkan kepada kira-kira 35,000 penagih.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

UtusanBorneo

About the author

Admin Wa

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!