fbpx
Home ยป Penyanyi lagu Widuri, Bob Tutupoly, meninggal dunia pada usia 82 tahun
Am Berita Luar Negara Hiburan

Penyanyi lagu Widuri, Bob Tutupoly, meninggal dunia pada usia 82 tahun

Difahamkan, Bob sejak kebelakangan ini kerap berdepan masalah kesihatan dan sering berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan.

JAKARTA: Penyanyi Indonesia yang terkenal dengan lagu Widuri, Bob Tutupoly meninggal dunia pada Selasa, jam 12.03 tengah malam waktu tempatan di Hospital Mayapada, Jakarta.

Khabar duka tersebut disampaikan pengamat muzik Stanley Tulung, menerusi satu pesanan ringkas.

Sementara itu, dalam akaun Facebooknya, Stanley yang juga teman rapat Bob turut menyampaikan khabar pemergian penyanyi legenda itu, disertai foto bersamanya.

Difahamkan, Bob sejak kebelakangan ini kerap berdepan masalah kesihatan dan sering berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan.

Bob dilahirkan di Surabaya pada 13 November 1939. Sepanjang hayatnya, lelaki berasal Ambon, Maluku itu tidak hanya dikenali sebagai penyanyi malah pernah menjadi hos dalam program kuiz di televisyen, serta seorang pengacara majlis.

Jasadnya kini ditempatkan di Rumah Duka, Hospital Siloam, Semanggi, Jakarta.

Beberapa bulan lalu, sejumlah artis dan selebriti sempat menjenguk Bob yang ketika itu sudah dalam keadaan duduk di kerusi roda. Antara rakan industri yang pernah menziarahinya untuk memberi semangat ialah Tantowi Yahya dan Yuni Shara.

“Semangat sihat Om Bob….. yang daya ingatnya luar biasa, dan masih senang menyanyi,” kata Yuni Shara melalui akaun Instagram @yunishara36, pada 15 Mei lalu.

Kakak kandung penyanyi Krisdayanti itu turut memuat naik videonya bersama Bob lantas mengundang kata-kata simpati dan ucapan semangat dari pada pengikutnya.

Sepanjang Bob berulang-alik menerima rawatan di hospital, turut beberapa kali tular berita palsu yang menyatakan dirinya sudah meninggal dunia, namun teman rapat seperti Stanley segera tampil menafikan perkara itu.

Cuma kali ini, berita tentang Bob Tutupoly sudah disahkan, dan pemergiannya meninggalkan isteri dan seorang anak.

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!