fbpx
Home » Perlukah MPN Dibubar?
Politik sudut pandangan

Perlukah MPN Dibubar?

MPN sebenarnya bukan mempunyai apa-apa kuasa. Kewujudannya untuk menjadi penasihat kepada kerajaan. Kalau kerajaan nak dengar nasihat MPN, silakan. Kalau kerajaan tak mahu dengar nasihat MPN, apa MPN boleh buat. (GAMBAR HIASAN)

NAJIB Razak yang disyorkan masuk penjara oleh Timbalan Presiden Umno, Mat Hasan mengesyorkan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan PM8, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin elok dibubarkan kerana tiada sumbangan.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan elaun Pengerusi MPN dipotong.

Suara kedua-dua mereka yang kecewa ini boleh kita baca di FB dan portal berita pro pembangkang saban hari, sejak MP Pasir Salak Tajuddin Abd Rahman menyerang Presiden Umno.

Kluster mahkamah terus menerus berusaha menangguhkan perbicaraan, seolah-olah mereka tidak ada jalan lain, selain tangguh dan tangguh dengan pelbagai strategi.

Walaupun itu hak mereka dan dibenarkan tetapi rakyat melihat, mereka sudah habis ikhtiar untuk melepaskan diri.

Maklumlah, rakyat tidak pandai undang-undang. Mereka melihat adegan ini, seolah-olah mahkamah dan hakim dipermainkan.

Tetapi, saya pula melihat, setiap orang yang dituduh mempunyai hak masing-masing untuk digunakan sehabis boleh.

Itulah sebab, ada seorang bekas Pegawai Khas kepada seorang Menteri berjaya menangguhkan hukuman hingga 20 tahun, sebelum masuk penjara menjalani hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Andai mereka kena masuk penjara, mungkin permintaan terakhir mereka ialah melihat MPN dibubarkan.

TSMY menyahut permintaan Presiden Umno itu dengan kata-kata, “jika rakyat minta dibubarkan, bubarkanlah,”

Biasalah, orang yang nak masuk penjara ini memang pelik-pelik permintaan mereka.

Kadang-kadang mereka akan berkata, “saya dianiaya” tetapi sejarah membuktikan bahawa hakim tidak melayan perasaan seseorang sebaliknya melihat fakta.

Ada yang masuk penjara dulu, sebelum selesai rayuan. Ada yang bebas, hingga selesai rayuan.

Yang bebas, boleh pula berkempen dan menyerang orang yang tidak bersalah.

Yang bersalah kata orang lain bersalah, dia tetap tidak mengaku dia bersalah. Dia tambah bukti, dia tambah peguam.

Dia bawa peguam luar negara. Dia tak yakin peguam dalam negara. Dia kata, hakim ada terkait dengan dakwaan rasuah.

Dia tuduh semua orang tidak betul, hanya dia yang kata dia betul.

Sebenarnya, apa yang Mat Hasan kata, yang kemudiannya Mat Hasan menafikan, memang betul.

Najib perlu masuk penjara. Ramai (baca: rakyat) yang turut berkata demikian tetapi disebabkan rakyat tidak diwawancara Asia Times, maka suara rakyat itu tidaklah menjadi bahan berita di portal.

Najib mungkin terkejut dengan kenyataan Mat Hasan itu. Mat Hasan pun terkejut kerana dia kata dia tak kata sedemikian.

Rakyat tidak terkejut. Yang turut terkejut mungkin monyet dan ungka, sama ada di zoo atau pun di hutan.

Cuma, monyet di zoo dan di hutan tidak pula mencadangkan MPN dibubarkan atau elaun yang tidak diterima oleh Pengerusi MPN dipotong.

MPN sebenarnya bukan mempunyai apa-apa kuasa. Kewujudannya untuk menjadi penasihat kepada kerajaan.

Kalau kerajaan nak dengar nasihat MPN, silakan. Kalau kerajaan tak mahu dengar nasihat MPN, apa MPN boleh buat.

Kebetulan, awal-awal ISBY jadi PM9, ada ura-ura Najib mahu dilantik menjadi Penasihat Ekonomi.

Namun, cadangan dan idea murahan itu dikecam hingga menyebabkan PM melantik Naib Ketua Pemuda Umno, Sharil Hamdan menjadi Penasihat Ekonomi.

Apakah nasihat yang Sharil berikan kepada PM, tidak ramai yang tahu hingga PM pun kurang bercakap mengenai ekonomi Malaysia sejak menjadi PM.

Ada yang berkata, kalau PM mahu, lantik Asyraf Wajdi jadi Pengerusi MPN 2….. Suruh dia nasihat hal-hal berkaitan pengeluaran Wang KWSP.

Ada yang berkata, Asyraf ada kepakaran untuk menghabiskan wang KWSP yang dikeluarkan pencarum.

*Daud Ibrahim merupakan penulis bebas

**Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!