fbpx
Home » PM perlu beri perhatian serius jumpa Muhyiddin, kata Wan Saiful
Kerjasama Politik Politik

PM perlu beri perhatian serius jumpa Muhyiddin, kata Wan Saiful

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata jika Ismail mempunyai masa untuk menonton bola, tidak salahnya beliau meluangkan masa untuk berjumpa Muhyiddin berbincang kedudukan Zuraida sebagai menteri.

KUALA PERLIS, 23 Jun – BERSATU menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi perhatian serius untuk berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan kerajaan hari ini adalah hasil sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ismail juga dicalonkan oleh BERSATU untuk ‘diangkat’ menjadi perdana menteri kerajaan masa ini.

“Perdana Menteri kena bagi perhatian yang seriuslah.

“Kena ingat gabungan PN ada 50 orang Ahli Parlimen. Dicampur dengan sokongan kita dapat daripada GPS ada hampir 70 orang. 

“Ini gabungan besar. Malahan lebih besar dari BN. Kita yang angkat beliau jadi calon Perdana menteri dan diterima dengan sokongan daripada kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang penyembelihan ayam MyFarm Village di sini, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu adalah Ketua Bahagian BERSATU Arau, Megat Hashirat; Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus; Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan; Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah; dan Ketua Bahagian BERSATU Serdang, Dato’ Suhaimi Ghazali.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata jemputan Muhyiddin untuk berjumpa dengan Ismail juga dibuat secara sihat dan ‘keluarga’.

Beliau berkata jika Ismail mempunyai masa untuk menonton bola, tidak salahnya beliau meluangkan masa untuk berjumpa Muhyiddin berbincang kedudukan Zuraida sebagai menteri.

“Jadi kalau ada masa tonton bola, takkan nak jumpa orang yang mencalonkan dia tak sempat.

“Kita sebut secara family, bukan dengan cara yang tak sihat.

“Rakaman pun tunjuk kita sebut dengan intonasi yang baik. Jadi lepas menonton bola, makan malam, apa salahnya penuhi jemputan untuk berjumpa,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, Muhyiddin berkata beliau sudah menunggu terlalu lama untuk temu janji berjumpa perdana menteri berhubung kedudukan Zuraida sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Muhyiddin sebelum ini juga berharap isu jawatan Zuraida dalam Kabinet diselesaikan dengan segera.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!