fbpx
Home » Polis Tawau rampas 6 kilogram syabu disembunyi dalam bungkusan beras
Berita Tempatan Jenayah

Polis Tawau rampas 6 kilogram syabu disembunyi dalam bungkusan beras

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin dalam satu sidang media mengumumkan kejayaan rampasan dadah oleh Polis Tawau hari ini. – Foto Astro AWANI

TAWAU: Satu lagi rangkaian sindiket dadah berjaya ditumpaskan oleh pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau apabila berjaya menangkap dua lelaki tempatan bersama enam kilogram syabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin dalam satu sidang media hari ini memberitahu tangkapan dibuat pada pukul 3.35 petang, 14 Jun lalu, di Bandar Sri Indah, di sini.

“Mereka cuba mengaburi mata dengan menggunakan bungkusan beras. Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas satu kotak polisterin yang mengandungi enam bungkusan tertera tulisan ‘Ecological Rice’ yang mengandungi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Kedua-dua suspek berumur 30 dan 42 tahun itu ditahan semasa melakukan urusan jual beli dadah tersebut.

“Kami percaya operasi kali ini yang melibatkan maklumat risikan dan menjejak suspek terlibat sekali gus telah membongkar satu lagi sindiket dadah yang bergiat aktif di daerah ini,” katanya.

Menurut beliau,rampasan tersebut dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!