Home » PRU lebih awal boleh jerat Umno, kata penganalisis
Analisis Politik PRU/PRK

PRU lebih awal boleh jerat Umno, kata penganalisis

Desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan segera disifatkan menteri kesihatan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab memandangkan situasi negara yang sedang pulih daripada pandemik Covid-19. Foto: AFP

PRN Melaka tidak boleh menjadi sandaran kepada PRU, manakala konflik dalaman Umno akan bertambah buruk selepas ini.

Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang “berjalan di atas air” selepas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, namun penganalisis memberi amaran bahawa mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal boleh “menjerat” parti Melayu itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu, Yusri Ibrahim berkata, PRN Melaka mampu memberikan cerminan awal kepada senario PRU15, namun ia berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PRN Melaka tidak boleh dijadikan sandaran untuk menjangkakan keputusan PRU15.

“Keputusan terburu-buru memanggil PRU berisiko menjerat Umno,” katanya dalam satu wacana pasca PRN Melaka di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen seterusnya memberi laluan kepada PRU15 diadakan lebih awal susulan kejayaan BN memenangi PRN Melaka dengan majoriti dua pertiga.

Zahid yang mengetuai sekumpulan pemimpin Umno yang digelar kluster mahkamah baru-baru ini menyatakan, memorandum persefahaman (MoU) antara pihak kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan satu “kitab suci” yang tidak membenarkan PRU awal.

Yusri berkata, pertandingan tiga penjuru atau lebih di Melaka memberi kelebihan kepada BN kerana Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki undi teras di negeri itu.

Namun katanya, senario sama dalam PRN Melaka tidak akan terjadi dalam negeri yang mempunyai demografi berbeza seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah dan Perlis.

Katanya lagi, sekiranya peratusan undi keluar bertambah sedikit sahaja berbanding 65% pada hari mengundi PRN Melaka, PN berkemungkinan mampu merampas lebih banyak kerusi.

“Berlaku peningkatan momentum kepada PN di saat akhir dan jika ia berterusan, PN boleh tambah banyak lagi sokongan di kawasan Melayu,” jelasnya.

PRN Melaka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.

Beberapa pihak menzahirkan kegusaran berhubung keputusan untuk mengadakan PRU15 lebih awal dari Julai 2022 seperti yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin ketika menawarkan kerjasama dengan pembangkang sebelum meletakkan jawatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini menyelar desakan mengadakan PRU15 lebih awal sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, kes positif Covid-19 dan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital berada pada tahap membimbangkan, selain kemunculan varian baru dari Afrika.

Bagi pensyarah jabatan sejarah Universiti Malaya, Hamidin Abd Hamid, Umno tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana konflik dalaman antara “kluster mahkamah” dan “kluster menteri” bakal memburuk sejurus PRN Melaka.

“Di Melaka ada pertarungan puak dalam Umno yang akan memberi kesan kepada pemilihan Umno pada masa akan datang.

“Dominasi kluster mahkamah lebih tinggi (selepas PRN), dan kita mahu tengok apakah respons kluster menteri,” katanya merujuk kepada kumpulan pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan rasuah dan yang mejawat jawatan menteri dalam Kabinet Ismail.

Jelas Hamidin, meskipun Umno ingin “menyerang ketika besi masih panas”, nyawa politik Ismail ibarat dihujung tanduk apabila berdepan ancaman dalaman tersebut.

“Kluster mahkamah mahu PRU sebelum keputusan mahkamah mereka yang bakal menggugat kedudukan mereka dalam parti.

“Mereka boleh bergerak atas nama parti, tapi bukan nama kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pemilihan Umno diadakan sebelum PRU15, ia dilihat boleh memberi kelebihan kepada Ismail dan kluster menteri dalam konteks kepimpinan parti.

MALAYSIA NOW

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment

Semua Topik

error: Content is protected !!