fbpx
Home ┬╗ PRU15: Pas ada ‘Pelan B’ jika UMNO tak mahu kerjasama – Ahmad Fadhli
Berita Dalam Negara Politik

PRU15: Pas ada ‘Pelan B’ jika UMNO tak mahu kerjasama – Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli berkata, meskipun Pas mahu terus menjalinkan kerjasama namun Presiden UMNO dalam ucapannya baru-baru ini menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti hanya boleh dilakukan selepas PRU15. – Gambar fail

TASEK GELUGOR: Pas mempunyai perancangan lain atau Pelan B sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu meneruskan sebarang kerjasama khususnya melalui Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Pemuda Pas Pusat , Ahmad Fadhli Shaari berkata, meskipun Pas mahu terus menjalinkan kerjasama namun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya baru-baru ini menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti hanya boleh dilakukan selepas PRU15.

Justeru pihaknya bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang situasi sekiranya benar tiada sebarang perundingan berlaku di antara kedua-dua pihak.

“Bagi kita itu isyarat jelas bahawa tidak ada permuafakatan di antara Barisan Nasional (BN ) dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas pada PRU akan datang. Walau pun Pas masih lagi berusaha untuk hendak jalinkan persefahaman dan perundingan.

“Tetapi kita bersedia untuk ‘worst case scenario’ untuk tidak ada sebarang perundingan, kalau ada perundingan kalau ada persetujuan itu lebih baik, bagaimana formula saya sebut tadi, kalau ada rundingan akan lebih beri tekanan pada Pakatan Harapan (PH) sebenarnya, tetapi kalau tidak ada apa-apa persetujuan kita tidak ada masalah dan kita akan terus juga menghadapi PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang kali ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis ,di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Sabtu.

Hadir sama, ´╗┐Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff dan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Md Jan.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, pihaknya menjangkakan pembubaran tarikh Parlimen bagi membolehkan PRU15 akan dibuat bergantung kepada situasi semasa politik di dalam UMNO ketika ini.

Katanya, melihat kepada situasi semasa dan tekanan yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tidak mustahil gendang PRU akan dipalu dalam tempoh terdekat.

Namun Ahmad Fadhli berkata, Naib Presiden UMNO itu pastinya akan mengambil kira pandangan partinya terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan pembubaran Parlimen.

Ia sama seperti keputusan BN menamatkan kerjasama dengan pihak parti pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 31 Julai lalu .

“Walau apa pun kita menghormati hak Perdana Menteri, sudah pasti kita jangka dalam membubarkan Parlimen ini, pandangan UMNO diambil kira, keutamaan kepada PM,” katanya lagi.

Ahmad Fadhli menambah, ketika ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum berikutan negara yang masih dalam proses pemulihan selepas pandemik COVID-19, namun mengambil kira tekanan yang dikenakan terhadap Perdana Menteri untuk mengadakan PRU, Pas bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!