fbpx
Home » Puad tak payah sibuk, tumpu tugas Speaker DUN Johor
Perikatan Nasional Politik

Puad tak payah sibuk, tumpu tugas Speaker DUN Johor

Wan Saiful berkata, perbincangan jawatan timbalan perdana menteri bukan “level” Puad, sebaliknya perbincangan itu membabitkan perdana menteri dengan bekas perdana menteri.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi dinasihatkan tidak mencampuri urusan pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau juga enggan melayan dakwaan dibuat Puad semalam yang menyatakan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai TPM.

“Puad tak payah sibuk. Jadi saya punya pandangan, kita tak payah layan sangatlah. Saya punya cadangan kepada Puad tumpu tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang beliau dapat hasil mengampu sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama FMT, pada Selasa.

Wan Saiful juga berkata, perbincangan jawatan timbalan perdana menteri bukan “level” Puad, sebaliknya perbincangan itu membabitkan perdana menteri dengan bekas perdana menteri.

Dalam pada itu, Wan Saiful menjelaskan perbincangan jawatan TPM yang dibuat antara Muhyiddin dengan Ismail Sabri baru-baru ini, bukan sesuatu yang baharu.

Ujarnya, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.

“Ini bukan perkara baru. Ini satu perjanjian ditandatangani sebelum Ismail ambil alih jadi perdana menteri.

“Jadi ada perjanjian (dan) dalam perjanjian itu mengandungi terma dipersetujui kedua-dua pihak yang mewakili entiti masing-masing. Ini bukan permintaan baru tetapi perjanjian yang belum dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah perjanjian dinyatakan Muhyiddin mengenai jawatan timbalan perdana menteri ada dibuat sebelum ini dan kenapa desakan itu dilakukan ketika ini.

Ahad lalu, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail minggu lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait perjanjian PN dengan perdana menteri.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata beliau menyerahkan kepada Ismail untuk menentukan jawatan yang dibincangkan dengan Muhyiddin kerana ia merupakan kuasa prerogatif perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata BERSATU akan melihat dan menilai sama ada perjanjian itu akan ditunaikan Ismail atau tidak.

“Kita sebagai manusia dinilai sejauh mana memenuhi janji terutama janji bertulis. Ismail juga (sudah tentu) mahu dikenali sebagai perdana menteri yang memenuhi janji beliau dan bukan sekadar buat janji,” katanya.

Wan Saiful berkata, banyak lantikan disandang BERSATU dan PAS yang sepatutnya dikekalkan ketika Ismail menjadi perdana menteri tidak dikekalkan.

“Saya faham ada pelbagai cabaran (tetapi) cabaran kena selesaikan. Sebab janji tetap janji,” katanya.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!