fbpx
Home » Rakyat digesa tanam tanaman keperluan asas
Berita Tempatan GRS-BN Pertanian

Rakyat digesa tanam tanaman keperluan asas

MASIDI (tengah) dan yang lain memotong kek sempena acara itu.

RANAU: Penduduk di sini digesa untuk menanam tanaman asas sendiri termasuk padi dan sayur-sayuran, untuk mengelak daripada menghadapi kesukaran apabila harga beras dan barangan makanan lain melonjak naik pada masa akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, merangkap Menteri Kewangan II Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, harga beras dan barangan lain akan naik kerana kos pengangkutan barang melonjak 200 peratus.

“Tidak banyak kapal yang datang ke Sabah kerana tidak banyak barang yang boleh dieksport, kerana kosnya terlalu besar.

“Cara untuk menentukan kos pengangkutan barang untuk dihantar ke Sabah adalah berdasarkan jumlah dan jenis barang yang hendak dibawa pulang ke tempat mereka.

“Biasanya banyak barang dibawa masuk ke Sabah, tetapi sangat sedikit barang dibawa pergi (eksport). Sebab itu harga barang menjadi mahal. Ini selain masalah pandemik,” katanya.

Masidi berkata, kontena yang sepatutnya digunakan untuk mengangkut barangan masih belum digunakan dan kos pengangkutan ditentukan berdasarkan kontena yang disewa.

“Katakanlah sebuah kontena dapat memuatkan 10 kereta tetapi kita hanya mahu menghantar satu kereta, jadi kita membayar kos untuk 10 kereta dan bukan hanya untuk kereta kita. Disebabkan itu, kami atau syarikat terpaksa mencari sembilan orang lagi yang ingin menghantar kereta mereka supaya kos tambang lebih murah.

“Setiap orang membayar bahagian mereka. Ini contoh kenapa harga barang naik,” kata Masidi yang juga Adun Karanaan.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hari Raya, Tadau Kaamatan dan Majlis Kesyukuran bagi Pelantikan Pemegang Adat dan Ketua Masyarakat DUN Karanaan 2022 di Dewan Masyarakat Ranau, pada Khamis.

Masidi menambah, harga barang semakin meningkat, tetapi masyarakat di sini mesti ingat tanah di Ranau ini subur dan mereka hanya perlu menabur benih ke tanah.

“Sebagai contoh, kita tidak perlu membeli sayur kacang panjang jika kita boleh menanamnya sendiri. Saya telahpun menerangkan masalah kenaikan harga barang. Kita boleh mengurangkan masalah jika kita menanam sendiri.

“75 peratus beras kita diimport dari luar negara. Jika ada apa-apa berlaku, seperti peperangan, maka kita perlu makan apa sahaja yang kita ada kerana kita tidak boleh mengimport beras dari luar negara,” katanya.

Menurut Masidi, baru-baru ini, kabinet mengumumkan kemungkinan Kerajaan Sabah menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah bagi menggalakkan pembukaan lebih banyak tanah untuk penanaman padi.

Sementara itu, katanya, kerajaan tidak pernah menganiaya rakyat, malah ada perkara yang di luar kawalan kerajaan.“

Harga barang tidak ditentukan oleh kerajaan, tetapi ditentukan oleh keadaan semasa pasaran ketika itu. Masa depan Ranau bergantung kepada sikap rakyat sendiri dan bukannya kerajaan.

“Kerajaan hanya boleh membantu. Kerajaan boleh memberi peruntukan, tetapi rakyat Ranau sendiri yang tentukan bagaimana pembangunannya,” katanya.Masidi menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukan masa untuk berpolitik, kerana politik telah pun berlalu pada 2020 semasa pilihan raya negeri.

“Semua orang perlu bekerja keras, dan ia menjadi aspirasi setiap penduduk Ranau untuk membangunkan Ranau. Mudah-mudahan suatu hari nanti kita boleh katakan dengan bangga bahawa kita telah menyumbang sesuatu dalam menjadikan Ranau lebih maju,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Kinabalu, Datuk Faimin Hj Kamin; Ketua Daerah Ranau, Muhasip Hj Roman; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) mewakili Pegawai Daerah, Hasinin Kinsim; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Hj Ruhimin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Rosdi Abd Ghani, dan PPM Paginatan Hishamuddin Harun.

Clarence Dol

Tags

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!