fbpx
Home ยป Rakyat perlu bersama-sama kerajaan tumpu pembangunan negeri
Berita Tempatan Perayaan Perpaduan

Rakyat perlu bersama-sama kerajaan tumpu pembangunan negeri

PESTA KAAMATAN 2022: Hajiji menyempurnakan paluan gong sebagai tanda lancarnya Pesta Kaamatan 2022.

KENINGAU: Rakyat Sabah perlu menumpukan pembangunan negeri dan abaikan perbezaan yang boleh menjejaskan kesatuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kesatuan dan kerjasama adalah sangat penting dan ianya tidak boleh dipandang ringan.

“Di Sabah terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan tetapi sudah hidup bersama secara harmoni sejak sekian lama.

“Perkahwinan campur telah memperlihatkan keluarga dari pelbagai bangsa dan kepercayaan sebagai sebuah keluarga besar.

“Kita mampu menerima dan menghormati diantara satu sama lain. Dalam setiap perayaan seperti hari ini pelancaran Pesta Kaamatan, kita semua datang bersama untuk menyambut perayaan ini,” katanya selepas melancarkan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di Pusat Kraftangan Keningau di sini, hari ini.

Beliau berkata, dari usia yang muda, semua masyarakat negeri ini membesar dengan menerima diantara satu sama lain. Oleh itu adalah bahaya sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kesatuan rakyat di Sabah.

“Marilah kita sentiasa mengingati bahawa kesatuan dalam kepelbagaian telah membenarkan kita hidup bersama dalam keadaan harmoni, hormat-menghormati dan menerima diantara satu sama lain,” katanya.

PESTA KAAMATAN 2022: Hajiji menyempurnakan paluan gong sebagai tanda lancarnya Pesta Kaamatan 2022.

Hajiji berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang cuba menggunakan sentimen perkauman, agama untuk tujuan politik yang hanya mahu menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat Sabah.

Oleh yang demikian, beliau menyeru rakyat Sabah untuk terus berusaha dan bergerak ke hadapan bersama Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

“Marilah lakukan yang terbaik untuk Sabah dan fokus kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Katanya, rakyat telah memberikan mandat kepada GRS untuk memacu Sabah dan kerajaan akan terus komited melaksanakan tanggungjawab.

Menurutnya, pelan pembangunan strategik lima tahun iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya sudah dilancarkan dan kini perancangan telah dilaksanakan demi manfaat rakyat negeri ini.

“Kini kita mula melihat projek pembangunan berimpak tinggi dengan pelabur luar dan tempatan membuahkan hasil. Antaranya ialah pengeluar kerajang tembaga SK Nexilis, pengeluaran kaca inovatif oleh syarikat Kibing dan Projek Penanaman kelapa berpenghasilan tinggi Linaco.

“Semua projek berkenaan kini dalam perlaksanaan secara berperingkat. Inilah buktinya pencapaian yang boleh kita capai sekiranya kita bersama-sama memberikan tumpuan dan usaha ke arah pembangunan,” katanya.

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan merupakan perayaan penting kepada Sabah khususnya komuniti Kadazadusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta etnik yang lain di negeri ini.

Beliau berharap perayaan ini dapat terus menjadi platform menguatkan lagi silaturahim hubungan dan kebudayaan dalam kalangan rakyat Sabah.

“Dengan semangat Kaamatan, bersama-sama kita mampu meningkatkan pengeluaran beras dan hasil pertanian yang lain. Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM561.81 juta untuk sektor pertanian.

“Sektor ini penting kerana ia menyediakan makanan kepada rakyat, pekerjaan dan perniagaan selain menyediakan bahan mentah kepada sektor pembuatan,” katanya.

Hajiji berkata, semua usaha telah diambil bagi memastikan Sabah menggandakan pengeluaran makanan menjelang 2030. Kementerian Pertanian dan Perikanan juga berjaya menggandakan pengeluaran padi Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, Pusat Pengumpulan Pengeluaran Pertanian (APCC) pertama di Sabah akan beroperasi pada bulan depan dan mampu memenuhi permintaan untuk 50 juta tan metrik hasil pertanian bernilai tinggi seperti sayur, buah dan bunga segar.

Katanya, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNS) yang disambut bertepatan dengan sambutan Pesta Kaamatan yang dilancarkan ini juga sebagai penghargaan kepada para peladang, penternak dan nelayan di Sabah atas sumbangan mereka dalam kemajuan ekonomi negeri.

Menurutnya, HPPNS juga mensasarkan untuk mempersembahkan teknologi, inisiatif baharu serta penyelidikan yang dilakukan jabatan, agensi kerajaan dan juga sektor swasta yang boleh guna pakai pendekatan modenisasi sektor pertanian.

Hajiji serta tetamu kehormat yang lain

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 Datuk Seri Panglima Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Ongkili, Presiden KDCA merangkap Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong serta tetamu kehormat yang lain.

Yap Siong Han

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!