fbpx
Home » Segerombolan Serigala Menyerang
Politik sudut pandangan

Segerombolan Serigala Menyerang

Di depan gerombolan serigala, ada kalangan serigala yang turut mendapat hidangan makanan dari UKSB. Namun gerombolan serigala tidak memandang kalangan serigala yang turut mendapat hidangan makanan. Sebab, gerombolan serigala mendapat arahan dari serigala terlepas sangkar supaya serangan ditujukan terhadap TSM sahaja. (Gambar Hiasan)

MAKA tersebutlah kisah, seorang saksi yang mewakili UKSB bercakap di mahkamah, dia ada memberi duit tiga kali kepada “TSM” yang diterjemahkan oleh mereka itu, sebagai Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berjumlah RM1.3 juta.

Secara tidak semena-mena segerombolan serigala mula menyerang batang tubuh “TSM” dari setiap sudut dengan diketuai kepada serigala yang sudah pernah masuk “sangkar” tetapi dilepaskan sementara waktu, untuk membenarkan dia mengira kembali “timbunan” duit yang pernah dia punggah.

Gerombolan serigala ini (seri segala-gala), seperti kelaparan yang amat sangat. Terjelir lidah setiap seekor.

Nampak taringnya yang sedia menyiat dan mengoyak daging mangsa. Nasib baiklah, tiada pemburu dari kumpulan yang memburu landak dan pelanduk terserempak dengan gerombolan pemangsa ini.

Kalau tidak tentulah “peng, peng, peng” tersembur peluru penabur dari muncung senapang para pemburu ini.

Tidak mungkin para pemburu ini sedang lena. Tidak mungkin juga para pemburu ini sedang menyelam.

Yang pasti, satu pun tembakan belum kedengaran dihalakan kepada gerombolan serigala lapar daging mangsa dan haus darah itu, untuk mengentikan salakan dan gonggongan.

Sebelum ini saya ada menegur, “ikan kering pun dapat nyawa balik” bila seorang saksi Cina bercakap ada beri RM1.3 juta kepada TSM di mahkamah.

Ikan kering ini, sudah dijemur kering sejak kalah dalam PRU-14. Kering betul. Nampak garam-garam yang membalutinya.

Tetapi, entah macam mana, macam ada nyawa kedua dia dapat. Dia bersuara dan menyerang TSM. Lobak, tunggul kayu reput dan biawak jangan cakaplah.

Bangkai pun mereka jamah.

Gerombolan serigala menuntut dan mendesak pilihan raya umum segera diadakan. Dalam masa yang sama, semua spesis serigala sudah direncanakan supaya menyokong mereka tidak membuat pemilihan parti sebelum PRU-15.

Gerombolan serigala, termasuk yang sudah pernah disangkarkan, takut berlaku pula perubahan dalam parti mereka, yang menyebabkan “rentak politik parti” akan berubah dengan berlakunya perubahan dalam kepimpinan.

Gerombolan serigala tidak mahu melepaskan “kedudukan dan jawatan” yang sedang mereka berpaut sekarang.

Mereka tahu, tanpa jawatan, semut putih dan semut hitam pun tidak akan menghampiri mereka, walaupun ditawarkan dengan harapan baharu.

Dalam hutan negara kita, pernah berlaku di mana pihak yang didapati bersalah boleh membuat rayuan selama tempoh 20 tahun.

Jangan sesiapa terkejut, semakin banyak ikan kering akan dapat nyawa balik. Jangan terkejut jika ada pengikut baru yang akan menambah jumlah gerombolan serigala lapar dan haus ini.

Jangan terkejut jika dalam pilihan raya nanti, semakin ramai yang dapat buat rombongan bercuti ke Perth atau Amsterdam, kerana gerombolan serigala mempunyai tabungan sejak kecil yang besar jumlahnya.

Sekarang timbunan duit-duit itu sedang dikawal oleh serigala-serigala kelas sederhana yang pendek lidahnya dan tumpul taringnya.

Di depan gerombolan serigala, ada kalangan serigala yang turut mendapat hidangan makanan dari UKSB.

Namun gerombolan serigala tidak memandang kalangan serigala yang turut mendapat hidangan makanan.

Sebab, gerombolan serigala mendapat arahan dari serigala terlepas sangkar supaya serangan ditujukan terhadap TSM sahaja.

Selagi gerombolan serigala ini tidak dimasukkan ke sangkar dan dikurung, mereka akan terus menjelirkan lidahnya dan menyerang mangsa yang mereka anggap punca mereka dimasukkan ke sangkar.

Mereka gelisah menanti hari terakhir proses rayuan yang mereka sendiri tunggu dan sedaya upaya mencari jalan lain, untuk melewat-lewatkannya.

*Daud Ibrahim ialah penulis bebas

**Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!