fbpx
Home » Selesaikan kes mahkamah sendiri, tak perlu sibuk urusan lain – Wan Saiful bidas Najib
Isu & Kontroversi Politik

Selesaikan kes mahkamah sendiri, tak perlu sibuk urusan lain – Wan Saiful bidas Najib

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Wan Saiful menyarankan BERSATU tidak melayan kritikan Najib terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan menerima rasuah.

KUALA PERLIS, 23 Jun – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu dakwaan menerima dana Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Beliau menyarankan Najib supaya menyelesaikan masalah kes mahkamahnya sendiri berbanding mengkritik Muhyiddin.

“Pesanan saya satu sahaja iaitu, dia selesaikan masalah kes mahkamah dia.

“Tidak perlu sibuk-sibuk benda lain. Tak ada moral langsung orang macam ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang penyembelihan ayam MyFarm Village di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Najib yang mengkritik Muhyiddin selepas dikaitkan dakwaan menerima dana sebanyak RM1.3 juta daripada UKSB, syarikat yang terlibat dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama dalam lawatan itu adalah Ketua Bahagian BERSATU Arau, Megat Hashirat; Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus; Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan; Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah; dan Ketua Bahagian BERSATU Serdang, Dato’ Suhaimi Ghazali.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menyarankan BERSATU tidak melayan kritikan Najib terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan menerima rasuah.

“Kita baca sahaja. Kemudian sama-sama kita ketawakan,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Wan Saiful berkata menasihatkan penyokong-penyokong Najib tidak selamanya sujud dan melutut terhadap Najib.

Beliau berkata kes mahkamah skandal rasuah Najib juga adalah sesuatu yang memalukan negara.

“Jadi dia (Najib) kena sedar diri sikit. Penyokong-penyokong Najib juga kena sedar diri juga siapa yang dia sokong.

“Jangan asyik sujud dan melutut kepada orang berperangai macam ini. Kena fikir masa depan negara,” katanya.

Pada 18 Jun, Najib mempertikaikan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau tidak menerima dana RM1.3 juta, pada 2018, seperti yang diberitahu di mahkamah.

Muhyiddin berkata, dia tidak pernah menerima wang daripada UKSB dan mengatakan adalah mustahil menerima wang dikatakan itu ketika sedang menghidap kanser dan menjalani rawatan.

Najib memetik laporan berita yang menunjukkan garis masa sebelum dan selepas Muhyiddin menjalani rawatan kanser serta tarikh ketika dakwaan sogokan itu dilakukan.

Berita Bersatu

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!