fbpx
Home » [SEMAK FAKTA]: Palsu! Dakwaan nahas pesawat Garuda Indonesia di Iran tular di media sosial
Berita Luar Negara Viral

[SEMAK FAKTA]: Palsu! Dakwaan nahas pesawat Garuda Indonesia di Iran tular di media sosial

Pada September 2021, AFP pernah membongkar dakwaan tidak benar mengenai pendaratan kecemasan kapal terbang Garuda Indonesia menggunakan video simulasi yang sama. – Sumber foto SemakanFaktaAFP

SATU video menunjukkan kapal terbang yang terhempas ketika mendarat dan para penumpang dipindahkan dari pesawat, telah ditonton ratusan ribu kali dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan nahas pesawat Garuda Indonesia di Iran pada Januari 2022.

Dakwaan itu tidak benar.

Video pertama ialah video simulasi, manakala video kedua ialah rakaman nahas pesawat syarikat penerbangan lain di Iran pada Januari 2022.

Tiada laporan rasmi atau boleh dipercayai mengenai nahas pesawat Garuda Indonesia baru-baru ini.

Video berdurasi satu minit dan 26 saat itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 9 Januari 2022 dan telah ditonton lebih daripada 3,000 kali.

Video tersebut menunjukkan sebuah pesawat terhempas ketika mendarat diikuti dengan pemindahan penumpang dari pesawat yang telah mendarat.

Pada saat ke-15, tulisan pada badan pesawat “Garuda Indonesia” boleh dilihat.

Status catatan tersebut berbunyi: “Ish ish… Allahu… kejadian sebenarkah?

“Dikatakan pesawat Garuda Indonesia terhempas semasa mendarat pada 7/1/22 di Mashhad City, Iran.”

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 21 Januari 2022

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 21 Januari 2022

Tulisan berbahasa Parsi di bahagian bawah video berbunyi: “Pesawat Boeing Mahhshad Isfahan”.

Mashhad ialah sebuah bandar yang terletak di timur laut Iran, sedangkan Isfahan ialah bandar di bahagian tengah negara itu.

Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa oleh pengguna Facebook dari Malaysia, seperti di sini dan sini, serta di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 406,000 kali.

Video itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Simulasi komputer

Klip pertama dalam video mengelirukan itu menunjukkan nahas kapal terbang yang terbabas semasa mendarat.

Carian kata kunci di Google menemui video ini yang dimuat naikkan di YouTube pada 2 Mei 2020 oleh akaun Bopbibun, yang sering membuat simulasi kapal terbang dengan aplikasi simulator penerbangan.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, video itu bertajuk: “Pendaratan Kecemasan Paling Gila Oleh Juruterbang Mabuk | X-Plane 11”.

X-Plane 11 ialah sebuah perisian simulator penerbangan.

Sebahagian daripada kapsyen video itu berbunyi: “Ini hanyalah penerbangan simulasi. Keadaan ini tidak benar!

“Semua dalam video ini tidak berlaku dalam kehidupan sebenar, kerana situasi ini hanyalah cabaran untuk saya mencuba dalam simulasi penerbangan.”

Adegan yang sama boleh dilihat pada tanda 5:38 dalam video asal.

Berikut perbandingan tangkapan layar antara video (kiri) dan video asli di YouTube (kanan).

Pesawat terhempas di Iran

Klip kedua dalam video yang mengelirukan itu menunjukkan orang ramai dipindahkan ketika pesawat telah mendarat.

Carian imej terbalik di Yandex menemui video ini di Twitter bertarikh 6 Januari 2022 mengenai kemalangan di lapangan terbang Isfahan di Iran yang melibatkan syarikat penerbangan persendirian negara itu yang dipanggil Caspian Airlines.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, ciapan itu berbunyi: “Laporan kemalangan di lapangan terbang Isfahan

“Penerbangan 737 Syarikat Caspian dari #Mashhad ke #Isfahan dengan 110 penumpang telah dibawa keluar dari landasan kerana kecacatan pada tayar pesawat ketika terletak di lapangan terbang Isfahan. Mujurlah penumpang yang tidak bersalah berjaya diselamatkan kali ini.

” Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di Twitter (kanan): Perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di Twitter (kanan) Video itu juga muncul dalam laporan mengenai nahas pesawat Caspian Airlines di lapangan terbang Isfahan yang diterbitkan oleh pelbagai media pada awal Januari 2022, seperti Rangkaian Berita Penerbangan Awam (CANNews), sebuah media berita penerbangan berbahasa Parsi dari Iran; Yeni Safak, akhbar harian Turki; dan RT Arabic, media milik kerajaan Rusia.

Dua video lain di sini dan sini, yang dimuat naik di akaun Instagram CANNews, menunjukkan pemindahan di lapangan terbang Isfahan yang diambil dari sudut berbeza, di mana logo Caspian Airlines dan bendera Iran kelihatan pada badan pesawat.

Seperti yang dilaporkan Agensi Berita Mehr, agensi berita Iran, di sini, kemalangan itu berlaku pada 5 Januari 2022 di lapangan terbang Isfahan kerana enjin pesawat terlanggar landasan semasa mendarat dan menyebabkan roda pesawat bengkok, namun juruterbang berjaya mengawal pesawat sehingga ia tidak tergelincir dari landasan.

Sembilan orang tercedera akibat kejadian itu: tiga dirawat di lapangan terbang dan enam dibawa ke hospital.

Carian kata kunci tidak menemui sebarang laporan rasmi atau boleh dipercayai tentang nahas pesawat Garuda Indonesia ketika ia mendarat pada Januari 2022.

Pada September 2021, AFP pernah membongkar dakwaan tidak benar mengenai pendaratan kecemasan kapal terbang Garuda Indonesia menggunakan video simulasi yang sama.

AWANI

About the author

Admin Wa

Add Comment

Click here to post a comment

Semua Topik

error: Content is protected !!