fbpx
Home » ‘Siapa yang nasihat?’, ahli Parlimen PKR persoal Agong undang Najib ke istana
Isu & Kontroversi Politik

‘Siapa yang nasihat?’, ahli Parlimen PKR persoal Agong undang Najib ke istana

Bekas perdana menteri Najib Razak bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam sebuah majlis Hari Raya di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang. Gambar: Facebook

Seorang ahli Parlimen PKR hari ini mengalu-alukan kenyataan Yang di-Pertuan Agong di UiTM baru-baru ini yang memberi amaran mengenai “barah” rasuah, namun mengatakan pendirian istana itu dilihat tidak selari dengan tindakannya mengundang bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata beliau tidak mahu menyalahkan Agong berhubung undangan tersebut, mengatakan pegawai istana yang bertanggungjawab menasihatkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah gagal menjalankan tugas mereka.

“Yang di-Pertuan Agong dibekalkan oleh kerajaan dan negara dengan pelbagai penasihat dan pembantu istana. Pegawai-pegawai istana tersebut yang membawa gelaran hebat-hebat seperti Datuk Bijaya Diraja, Datuk Bentara Diraja dan lain-lain.

“Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai akses kepada Peguam Negara yang bertindak sebagai peguam kepada Kerajaan.Tidak ada sesiapakah yang berani tampil ke depan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya jangan menjemput bekas perdana menteri Najib Razak (seorang pesalah rasuah) ke Istana Negara?” kata Hassan dalam sebuah hantaran Facebook.

Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan disabitkan kesalahan di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 bagi tujuh pertuduhan berkait penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan turut mengekalkan sabitannya dan beliau kini dalam proses merayu di Mahkamah Persekutuan.

Najib menerima undangan Aidilfitri di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang pada 4 Mei lalu.

Sebelumnya, beliau turut diundang bagi majlis berbuka puasa bersama Agong, ahli Kabinet dan diplomat asing di Istana Negara pada 18 April.

Menurut Hassan, satu kesilapan dilakukan pihak istana apabila Najib turut diundang di mana beliau menyertai Agong menikmati santapan diraja.

Katanya, pelajar UiTM yang mendengar ucapan Agong mengenai bahaya rasuah akan teringat peristiwa di mana Najib menghantar gambarnya di media sosial menunjukkannya turut diundang ke istana.

Beliau menambah hubungan rapat antara Najib dan Agong tidak menjadi isu kerana ia adalah hubungan peribadi.

“Mereka sama-sama dari Pahang. Tetapi itu soal hubungan peribadi. Tidak boleh dicampur-aduk dengan urusan rasmi negara.

“Najib Razak bekas perdana menteri dan ahli politik yang senior sepatutnya sedar dan mengambil inisiatif menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya tidak menjemput beliau ke Istana Negara bersandarkan latar belakang bahawa beliau telah didapati bersalah oleh mahkamah.”

Staff Writers

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!