fbpx
Home ยป ‘Siasatlah, sekarang, esok pun boleh’ – Muhyiddin
Berita Dalam Negara Politik

‘Siasatlah, sekarang, esok pun boleh’ – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin memaklumkan belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan saksi di mahkamah, beliau menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Beliau mengulangi pendiriannya untuk bersedia dipanggil dan disiasat pihak berkuasa termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran kes pendedahan di mahkamah itu.

“Saya pun sudah buat kenyataan, sudah ada orang buat laporan polis. Biarlah polis siasat. Kalau SPRM mahu panggil saya pun, saya tak takut kerana saya cakap yang benar.

“Setakat ini tidak ada (dipanggil SPRM atau polis). Saya cakap benar. Saya tak pernah bohong. Komen (orang lain) itu masing-masing punya komenlah. Saya tak rasuah. Saya tak terima apa-apa. Tapi kalau orang lain kata begitu, tak tahulah.

“Sekarang pun boleh kalau mahu (SPRM) siasat. Esok pun boleh.. datanglah,” katanya pada sidang media selepas Program #RuangBelia bersama Muhyiddin anjuran Institut Masa Depan Malaysia di sini, hari ini.

SPRM dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

SPRM menjelaskan, agensi itu juga mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau juga enggan membuat sebarang kenyataan balas berhubung perkara itu, dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan dan tindakan oleh pihak berkuasa.

Menyentuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang meminta supaya Johor tidak dianaktirikan dari menerima manfaat peruntukan kerajaan pusat, Muhyiddin berkata, itu hak baginda untuk menyatakan pandangannya.

“Saya tidak boleh kata apa. Tapi saya yakin, sebab pasal tuntutan negeri ini pelbagai. Bila kerajaan persekutuan buat satu keputusan, mesti ada pertimbangan tertentu. Jadi, bagi saya kenyataan itu, terserahlah,” katanya.

-bharian

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!