fbpx
Home » Suspek tikam ibu kandung, positif syabu
Am Berita Dalam Negara Jenayah

Suspek tikam ibu kandung, positif syabu

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah (kanan) melawat lokasi kejadian seorang lelaki dipercayai menikam ibu kandungnya sehingga maut di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka pada Rabu. – Gambar Astro AWANI

TANGGA BATU: Suspek lelaki yang dipercayai menikam ibu kandungnya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, di sini petang semalam disahkan berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu mendapati suspek positif syabu.

“Susulan penahanan suspek semalam, polis menjalankan ujian air kencing dan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis Methamphetamine.

“Bagaimanapun, semakan dibuat di kediamannya yang juga lokasi kejadian tidak menemui sebarang bahan terlarang,” ujarnya ringkas ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa yang dijalankan di Hospital Melaka masih berjalan dan dijangka selesai petang ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa pesara guru, Rozizah Md Dom, 63, disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).

Zainol sebelum ini berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

“Dalam tangkapan dibuat ini suspek mengatakan bahawa dia telah menikam ibunya oleh kerana dia mendengar satu bisikan yang menyuruh beliau menikam ibunya kerana wanita itu menyembah berhala.

“Atas sebab itu suspek telah masuk ke bilik ibunya yang mana wanita itu baru selesai mandi dan suspek bertindak menikam leher dibahagian kiri dan kanan menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Susulan itu, suspek yang juga seorang duda direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AWANI

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!