fbpx
Home » Usah fikir soal venue
Berita Dalam Negara Sukan

Usah fikir soal venue

SKUAD Harimau Malaya tidak seharusnya terlalu memikirkan soal venue pusingan akhir Piala Asia 2023, sebaliknya mereka diminta membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan terulung di rantau Asia itu.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, Harimau Malaya harus bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila membuat penampilan di pentas Piala Asia nanti.

“Saya tidak melihat mana-mana tuan rumah yang berminat untuk menjadi hos Piala Asia 2023 akan banyak memberi kelebihan buat pasukan kebangsaan melainkan tuan rumah kejohanan itu adalah Malaysia.

“Sebab kita perlu faham, apabila kita bermain di luar negara, ada beberapa faktor perlu diambil kira termasuklah perbezaan dari segi zon masa dan cuaca di negara itu sendiri.

“Namun, saya berasakan ia bukanlah menjadi satu masalah sekiranya persiapan yang rapi dapat dilakukan pasukan kebangsaan menjelang Piala Asia yang hanya berbaki kira-kira setahun.

“Sebagai contoh, kalau negara tuan rumah itu agak berbeza dari segi masa dan cuaca berbanding Malaysia, mungkin pasukan kebangsaan boleh datang seminggu atau dua minggu awal untuk membiasakan diri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuka bidaan kepada ahli gabungannya untuk menganjurkan Piala Asia 2023 dengan menyatakan pihak berminat mesti mengesahkan bidaan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun ini.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, Korea Selatan, Jepun, Australia, Arab Saudi dan Qatar diletakkan antara pilihan utama untuk menggantikan China sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Difahamkan, AFC secara rasmi akan mengumumkan tuan rumah Piala Asia 2023 pada pertengahan Oktober depan sebelum majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung lima atau enam bulan sebelum pertandingan.

Mengulas lanjut, Kim Swee yang juga bekas pengendali Harimau Malaya menyambut baik kesudian beberapa buah negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

Kim Swee memberitahu, fasiliti berkelas dunia yang akan disediakan oleh negara berkenaan dilihat bakal memberi pengalaman berharga buat barisan pemain Harimau Malaya.

“Kalau tanya saya, kesemua calon tuan rumah itu sekiranya mereka dipilih, sudah pasti akan memberi banyak pengalaman kepada pemain kita. Setiap negara itu diakui mempunyai fasiliti terbaik di dunia.

“Jadi pengalaman itu perlu digunakan sebaiknya oleh setiap pemain negara untuk mereka mempelajari bukan saja dari segi corak permainan lawan, malah turut melibatkan aspek belakang tabir,” ujarnya yang kini membimbing Sabah FC.

-sinarharianhttps://www.sinarharian.com.my/article/208089/Usah-fikir-soal-venue

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!