fbpx
Home » Wajib pakai pelitup muka di kawasan tertutup, tiada lagi penjarakan fizikal di sekolah
Pendidikan

Wajib pakai pelitup muka di kawasan tertutup, tiada lagi penjarakan fizikal di sekolah

Tiada lagi penjarakan fizikal terutama melibatkan kedudukan murid dalam kelas mulai 1 Mei ini

PEMAKAIAN pelitup muka bagi individu yang berada di kawasan tertutup dalam premis sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) masih diwajibkan seperti sebelum ini.

Keputusan tersebut selaras dengan pengumuman dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) mulai 1 Mei ini, semalam.

Namun begitu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin memaklumkan, terdapat beberapa pengecualian berhubung pemakaian pelitup muka di dalam premis sekolah.

Menurut beliau, antara pengecualian tersebut termasuk sekiranya individu berada bersendirian; guru yang sedang mengajar di hadapan kelas; aktiviti sukan dan rekreasi termasuk pendidikan jasmani dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Selain itu, beliau berkata, individu berkeperluan khas dan individu mempunyai masalah pernafasan turut dibenarkan tidak memakai pelitup muka di kawasan tertutup dalam sekolah.

“Sama ada dalam bilik darjah, pusat sumber atau mana-mana tempat dalam institusi pendidikan yang tertutup, maka pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.

“Dengan ketetapan itu, guru boleh memilih pendekatan paling baik dalam penyusunan di kelas, namun harus dipastikan semua murid memakai pelitup muka.

“Apabila berada di luar bangunan dan kawasan terbuka pula, selaras dengan apa yang diumumkan KKM, warga pendidik dan murid boleh membuka pelitup muka tetapi digalakkan memakai dalam keadaan tertentu khususnya apabila melakukan aktiviti secara berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas yang disiarkan di Facebook KPM, hari ini.

Sementara itu, Radzi turut memaklumkan tiada lagi penjarakan fizikal terutama melibatkan kedudukan murid dalam kelas.

Bagaimanapun, beliau berkata, penjarakan fizikal masih digalakkan dalam keadaan seseorang individu tersebut tidak memakai pelitup muka.

“Penjarakan fizikal ini adalah komponen penting kerana sebelum ini kedudukan murid dalam kelas adalah satu meter antara satu sama lain.

“Dalam keadaan tertentu, keadaan ini telah menimbulkan pelbagai kekangan kepada sesetengah sekolah. Jadi, seperti mana diumumkan KKM, tiada lagi penjarakan fizikal dalam kelas dan kawasan sekolah,” jelas beliau.

Afiq Mohd. Shah

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!