KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata pemimpin Parti Warisan dan Upko telah hilang kredibiliti dan harus mengelak daripada bersuara untuk menyokong Akta Anti-Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, di sini, Zulkarnain mengkritik Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana “tanpa rasa segan membincangkan Akta itu”.
“Saya agak malu apabila melihat Shafie ditemu bual oleh sebuah stesen televisyen dengan ahli politik UPKO dan DAP kerana Shafie seperti tidak rasa bersalah bercakap tentang lompat parti.

“Adakah Shafie sedar insiden pada 2018 apabila Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, di mana beliau (Shafie) memainkan peranan penting dalam memujuk wakil BN keluar parti, menyebabkan Warisan membentuk Kerajaan Sabah?”

Tambahnya, amat menyedihkan kerana Shafie juga telah memujuk Istana untuk menyokong apa yang boleh dianggap sebagai tingkah laku yang tidak wajar.
Beliau mendakwa daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri, BN Sabah dan Warisan serta rakan mereka daripada Pakatan Harapan masing-masing memenangi 29 kerusi, memberikan mereka jumlah kerusi yang sama selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Apabila Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star) bersetuju untuk menyokong Musa dalam membentuk kerajaan campuran, beliau (Musa) mampu memperoleh dua lagi kerusi, menurut Zulkarnain.

“Shafie, termasuk empat wakil rakyat Upko, tidak dapat menerima hakikat ini dan sebaliknya terus memujuk enam Adun BN meninggalkan BN ke Warisan,” katanya.
“Shafie, pada pendapat saya, bapa sebenar Sabah lompat parti,” dakwanya.Zulkarnain juga mendakwa ketika Musa menunggu upacara angkat sumpah, beberapa ahli politik yang dipilih bersembunyi di Istana untuk menghalang upacara itu.
Beliau berkata Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah 48 jam selepas Musa mengangkat sumpah untuk jawatan itu.

“Saya berharap apabila Ketua Menteri Sabah sekarang membentangkan Akta Anti-Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri Sabah, semua wakil Warisan dan Upko akan berdiam diri kerana mereka sebenarnya telah hilang kredibiliti untuk membahaskan perkara ini terutamanya dengan kejadian pada 2018,” katanya.


— EDITOR
Add Comment