fbpx
Home » Warisan tidak perlu risau pengeluaran IC Sabah: Star
Berita Tempatan GRS

Warisan tidak perlu risau pengeluaran IC Sabah: Star

Jalumin (left), Ekol and Jovilis

KOTA KINABALU: Tiada yang perlu dirisaukan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) berkaitan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengeluarkan kad pengenalan rakyat asal Sabah (IC Sabah).

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Jalumin Bayogoh, berkata Warisan pada awal penubuhannya telah juga meletakkan agenda pengeluaran IC Sabah sebagai salah satu matlamat perjuangan.

“IC Sabah sekadar menunjukkan pemegangnya sebagai rakyat asal Sabah termasuk kalangan imigran dari negara-negara lain sebelum kemerdekaan,” kata Jalumin.

Jalumin menegaskan, pengeluaran Sabah IC bertujuan untuk melindungi hak-hak rakyat asal Sabah yang mana hak mereka dinafikan oleh rakyat asing yang memperoleh kad pengenalan projek (IC Project) dan pemalsuan dokumen.

Menurut Jalumin, kewujudan IC Project adalah jelas berlaku seperti yang terkandung dalam dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Jalumin, yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong.

Dalam kenyataannya, Jaujan menyatakan cadangan pengeluaran IC Sabah bukan penyelesaian kepada isu dokumen pengenalan meragukan, sebaliknya perlu memperkasa peranan Mahkamah Anak Negeri (MAN) untuk mengesahkan kelahiran dan asal-usul pemohon kad pengenalan.

Kenyataan Jaujan itu bertentangan dengan kenyataan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking yang diterbitkan pada 23 Februari 2018 yang menggesa Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan mengeluarkan IC Sabah dalam menghadapi ancaman militan IS dan pemegang IC Project.

Sementara Pengarah Strategi yang juga Naib Presiden STAR Dr Paul Porodong menyifatkan cadangan Jaujan sebagai membebankan tanggungjawab MAN, malahan membuka lebih banyak ruang dan peluang pihak tertentu menyalah gunakan kuasa.

Ahli Majlis Tertingi (AMT) Star Freddy Ekol berkata cadangan Jaujan tidak rasional selagi kuasa pengeluaran dokumen terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

Seorang lagi AMT Star, Jovilis Majami, menyifatkan kenyataan Jaujan sebagai tidak wajar, risau terancam kedudukan dan tergugat kepentingan diri ekoran gesaan pengeluaran IC Sabah kian mendapat sokongan rakyat.

Manakala pelopor bersama perjuangan United Borneo Front (UBF) Dr Martin Ho melihat kenyataan Jaujan sebagai mengingatkan rakyat Sabah tentang apa yang telah dilakukan Warisan sepanjang tempoh mereka berkuasa.

Katanya, Warisan telah memberikan pelbagai cadangan penyelesaian warga asing seperti memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang boleh diperbaharui sehingga 100 tahun dan memberikan pulau penempatan warga asing di Sabah.

Menurutnya kerisauan rakyat asal Sabah tentang ancaman hak disebabkan IC Project dan pemalsuan dokumen amat berasas berdasarkan pengakuan terbuka mantan Ketua Daerah Sandakan Hassnar Ebrahim dan sebilangan penceroboh Tanduo yang didapati memiliki dokumen pengenalan Malaysia.

DE

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!