fbpx
Home ยป Zii Jia juara Asia
Berita Dalam Negara Sukan

Zii Jia juara Asia

ZII Jia pamer aksi bertenaga. FOTO Badminton Photo

Kuala Lumpur: Penampilan sulung Lee Zii Jia dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) cukup bermakna buat pemain terbabit apabila meraih gelaran juara selepas menewaskan pemain dari Indonesia Jonatan Christie sebentar tadi.

Jelas perlawanan yang berlangsung di Manila, Filipina itu menyaksikan Zii Jia mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk memastikan kemenangan 21-17, 23-21 berpihak kepada pemain negara itu.

Pada perlawanan set pertama menyaksikan pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu lebih menguasai permainan sekali gus berjaya menidakkan sebarang serangan daripada Jonatan untuk meraih kemenangan 21-17.

Melihat ketinggalan pada set pertama menyaksikan Jonatan yang juga pemain di ranking kelapan dunia cuba memberi tentangan sengit sehingga hampir memintas Zii Jia.

Namun, berbekalkan pengalaman, bekas juara Seluruh England itu bijak mengekalkan rentak permainan sebelum memastikan kemenangan berpihak kepadanya 23-21.

Sementara itu, rentak cemerlang Zii Jia gagal diikuti beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas tunduk kepada pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 21-23,10-21.

Jelas sekali, pasangan utama negara itu terus kempunan untuk meraih gelaran di pertandingan antarabangsa pada musim apabila sekali lagi tumpas di peringkat akhir.

Terdahulu, pasangan negara itu berjaya meraih kemenangan di peringkat separuh akhir selepas menewaskan rakan sepasukan, Goh Sze Fei-Muhd. Izzuddin Rumsani 21-13, 21-15.

hmetro

Mengenai Penulis

SBN Admin

error: Content is protected !!