Home » Fitnah terima RM15 juta, Anwar saman Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Berita Dalam Negara Politik

Fitnah terima RM15 juta, Anwar saman Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa dia berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman itu hari ini menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dengan menamakan Ahmad Amzad sebagai defendan tunggal.

Peguam SN Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 3.59 petang semalam.

Dalam pernyataan tuntutan, pengerusi PH itu mendakwa pada 7 Dis lepas, defendan telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa presiden PKR itu, kenyataan terbabit telah diterbitkan semula di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 pada hari sama (7 Dis) dan mendapat tontonan melebihi 4,980 kali, 62 komen, 116 butang “like”, 18 butang “favourite” dan 50 kali perkongsian serta boleh diakses sehingga kini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kenyataan fitnah itu telah dipetik dan diterbitkan oleh Malaysiakini, keesokannya (8 Dis) menerusi artikel bertajuk “S’gor economic adviser job: Anwar seeks public apology from MP”.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud dia (Anwar) tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor sebagai penasihat ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai penasihat ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana dia menentang rasuah.

Dia mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik.

sengatdaily