Home » Sarawak mahu guna formula sendiri untuk geran khas tahunan
Berita Dalam Negara Politik

Sarawak mahu guna formula sendiri untuk geran khas tahunan

Abang Johari Openg (tengah) menghadiri rumah terbuka Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah sempena sambutan Krismas.

PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak sudah mengemukakan formulanya kepada Putrajaya berhubung pemberian geran khas tahunan kepadanya di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, formula mereka dilihat lebih adil buat kedua-dua pihak dan kini dalam pertimbangan kerajaan persekutuan.


“Saya difahamkan kerajaan persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil.


“Formula yang dicadangkan Sarawak ini juga berlandaskan ‘revenue’ yang didapati oleh kerajaan persekutuan dari Sarawak,” katanya dipetik Bernama selepas menghadiri rumah terbuka Timbalan Premier, Douglas Uggah sempena sambutan Krismas di Kuching.


Beliau berkata, formula itu antara perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disampaikan Sarawak kepada Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof untuk dipertimbangkan.


Terdahulu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara yang dipersetujui berkaitan MA63 pada 4 Jan depan.


Buat masa ini, katanya, Jawatankuasa Teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara, termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.


Pada 5 Dis lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak, terutamanya MA63.

EDITOR