Home » Pelbagai perkara dibincangkan dalam kunjungan hormat: Chan
Berita Tempatan Politik

Pelbagai perkara dibincangkan dalam kunjungan hormat: Chan

Menurut Chan, pertemuan dua hala ini bertujuan untuk mengeratkan kerjasama strategik Kementerian di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak dalam menangani isu keterjaminan makanan. 

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Chan Foong Hin mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, di pejabatnya di Menara Kinabalu, semalam.


Kunjungan adalah bersempena lawatan sulung Chan ke Sabah sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 9 Disember lepas.


Ia turut disertai oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah Hadriyani Ahmad, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi MAFS.

KENANGAN: Chan (tiga kiri) dan Hajiji (dua kanan) merakamkan gambar kenangan.


Menurut Chan, pertemuan dua hala ini bertujuan untuk mengeratkan kerjasama strategik Kementerian di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak dalam menangani isu keterjaminan makanan. 


Turut dibincangkan pelbagai perkara termasuk pendekatan menghormati autonomi kerajaan wilayah dalam bidang pertanian serta meneroka ruang kerjasama terutamanya bersama Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah yang diterajui menterinya, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan.


Tambah Chan, beliau berkongsi aspirasi serta komited untuk bekerjasama dalam pelbagai perkara terutama bagi menggalakkan pemodenan dan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian, selain akan meneruskan siri jelajah dalam sektor pertanian serta agromakanan di wilayah tersebut.


Pada lawatan ini juga, Chan turut mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri merentasi semua subsektor agromakanan disertai Jabatan dan Agensi berkaitan pertanian di Sabah bagi mendapatkan input, pandangan dan cadangan untuk terus memperkukuh industri pertanian secara mampan. 


Sesi sebegini juga akan dilaksanakan secara bersiri dan berterusan di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak bagi terus memperkukuhkan agenda keterjaminan sekuriti makanan negara.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment