KUALA LUMPUR : Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan ke atas sebuah rumah yang merupakan stor simpanan dadah di kawasan Setiawangsa, di sini, berjaya menangkap dua lelaki bersama 13 guni berisi bungkusan teh China Guanyingwang berwarna kuning keemasan dan hijau disyaki dadah jenis syabu seberat 320 kilogram bernilai RM11.5 juta pasaran semasa.
Menurut beliau, JSJN pada 24 Disember lalu telah melancarkan Op Lambkin ke atas sindiket pengedaran dadah yang telah bergiat aktif sejak September 2022.
“Operasi ini telah berjaya membongkar satu simpanan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Katanya, suspek pertama berusia 29 tahun bekerja sebagai jurujual kereta dan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah dan kes curi.
Manakala, suspek kedua berusia 34 tahun, bekerja sebagai jurujual atas talian dan mempunyai empat rekod jenayah termasuk 3 kes dadah.
Menurut Yahaya, hasil ujian kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah.
Polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios dianggarkan bernilai RM20,800.
Kedua-dua suspek direman selama 7 hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Add Comment