Home » Ambil serius kehilangan Amri, buka semula laporan kronologi kehilangan, Saifudin digesa
Berita Dalam Negara Politik

Ambil serius kehilangan Amri, buka semula laporan kronologi kehilangan, Saifudin digesa

Laporan siasatan kronologi kehilangan Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo perlu diteliti semula, kata aktivis Faisol Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail digesa memberi tumpuan kepada kes aktivis sosial, Amri Che Mat, yang “hilang secara paksa” sejak 24 November 2016.


Aktivis Perlis Hope, Faisol Abdul Rahman berkata, Saifuddin perlu melihat balik laporan siasatan kronologi kehilangan Amri selain juga kes pastor Raymond Koh Keng Joo.


“Saifuddin sebagai menteri KDN yang sememangnya tahu perkembangan Amri ini digesa membuka balik semua kronologi yang ada dan laporan dari Suhakam, dan minta laporan pasukan petugas khas yang dibentuk.


“Kita harap supaya menteri KDN memberi tumpuan dan perhatian serius dalam kes membabitkan Amri dan Raymond serta individu hilang lain,” katanya yang juga jurucakap ahli keluarga Amri kepada FMT.


Faisol ialah aktivis pertubuhan Perlis Hope diasaskan Amri, dan antara saksi inkuiri Suhakam berhubung kehilangan itu sebelum ini.


Beliau juga hairan mengapa laporan siasatan pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat kehilangan Amri tidak boleh didedahkan termasuk kepada ahli keluarga.


“Apakah ada benda yang tersembunyi yang tak boleh didedahkan? Apakah sama ada kes Amri diambil pihak berkuasa apabila tidak mahu dedah laporan? Kita nak penjelasan sahaja,” katanya.


Selain itu, beliau hairan mengapa saksi penting kehilangan Amri, iaitu Saiful Bahari Abdul Aziz, gagal dijejak sehingga hari ini.


“Saiful, pemandu kereta Toyota Vios terlibat dalam kejadian, tidak dapat dikesan sampai sekarang.


“Ini memang sangat ganjil, tak masuk akal dan kita minta polis lebih terbuka dalam hal ini, supaya dapat keputusan sebenar di mana Amri hilang,” katanya.


Pada 2018 panel Suhakam yang menyiasat kes kehilangan Amri mendakwa polis melakukan “usaha untuk mengaburkan” dan ini berkait dengan Saiful yang merupakan bekas pekerja kontrak Cawangan Khas.


Kereta Saiful, sebuah Toyota Vios berwarna emas, dilaporkan dilihat berada di luar rumah Amri selama tiga hari berturut-turut sebelum kehilangan aktivis itu.


Saiful telah berulang kali menolak memberi keterangan dalam inkuiri Suhakam itu. Bagaimanapun pada Ogos 2019 pihak polis meminta bantuan orang ramai dalam usaha mencarinya.


Pada 3 April 2019, siasatan awam Suhakam menyimpulkan Amri dan Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, merupakan mangsa kehilangan paksa, melibatkan polis Cawangan Khas.


Dua bulan selepas itu pada 26 Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

— Faiz Zainudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment