Home » China longgar dasar kuarantin Covid-19, bagus untuk Malaysia, kata ahli ekonomi
Berita Dalam Negara

China longgar dasar kuarantin Covid-19, bagus untuk Malaysia, kata ahli ekonomi

AS telah mewajibkan ujian Covid-19 ke atas pelancong dari China, dan Jepun akan berbuat perkara sama mulai 30 Dis. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengalu-alukan langkah China melonggarkan dasar kuarantin Covid-19 untuk pelancong yang masuk kerana ini akan membantu mengurangkan kemelesetan ekonomi dilihat bagi Malaysia pada 2023.


Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, walaupun bukan “penawar”, ini pastinya satu langkah ke arah yang betul.


“(Langkah ini) patut membantu meningkatkan perjalanan dan aliran perniagaan tahun depan, serta mengurangkan beberapa kelemahan ramalan kemelesetan,” katanya kepada FMT.


Williams berkata, jangkaan kemelesetan ekonomi Malaysia pada 2023 sebahagiannya berdasarkan pasaran China yang tertutup dan penerusan dasar sifar-Covid negara itu.


Beliau ditanya bagaimana tindakan China membatalkan sekatan Covid-19, selepas tiga tahun sempadan ditutup dan sekatan dilaksanakan dengan kerap, akan memberikan kesan kepada ekonomi Malaysia, memandangkan republik itu ialah rakan dagang terbesar negara.


Pada September, menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengingatkan bahawa 2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi semua negara, termasuk Malaysia, berikutan kelembapan ekonomi di Eropah, Amerika Syarikat dan China, berbanding tahun ini.


Bagaimanapun, Williams memberi amaran bahawa masih perlu dilihat sama ada langkah itu berjaya kerana beberapa negara telah mengenakan syarat tertentu bagi pelancong China.


Sebagai contoh, AS mewajibkan ujian Covid-19 ke atas pelancong China, dan Jepun akan berbuat perkara sama mulai 30 Dis.


“Jika (keputusan) ujian kebanyakannya negatif, (pengujian) akan beransur-ansur dihentikan dan sekatan perjalanan ditamatkan,” kata Williams.


Dilaporkan sebelum ini bahawa pengembara ke China tidak lagi perlu menjalani kuarantin mulai 8 Jan. Had jumlah penumpang bagi setiap penerbangan juga akan dimansuhkan.


Bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani ujian PCR 48 jam sebelum berlepas.
Aturan untuk warga asing datang ke China, seperti untuk bekerja dan perniagaan, akan ditambah baik, dan visa yang diperlukan juga akan dipermudah, menurut pihak berkuasa kesihatan China.


Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) mengalu-alukan perkembangan itu, menyifatkannya sebagai “kelegaan sebenar” bagi ramai ahli perniagaan Malaysia yang beroperasi di China atau pembekal utama di sana.


Presiden MICCI Christina Tee berkata, langkah sifar toleransi republik itu sebelum ini “menyusahkan” rakyat Malaysia yang perlu pergi ke China untuk rundingan dengan rakan perniagaan mereka atau melawat kilang dan pembekal.


China sebelum ini mengenakan kuarantin mandatori sehingga 21 hari untuk pelancong yang masuk, tetapi kemudian dipendekkan kepada lapan hari.

— ‘Ainin Wan Salleh