Home » Pendakwaan terkilan dengan pembebasan Zahid 
Berita Dalam Negara Politik

Pendakwaan terkilan dengan pembebasan Zahid 

Pada 23 Sept lepas, Hakim Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno, daripada 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan VLN selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).


Dalam petisyen rayuan difailkan semalam, pendakwa raya selaku perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mohd Yazid Mustafa terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.


Pendakwa raya mendakwa Hakim Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi timbalan perdana menteri itu.


“Hakim itu telah terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya,” kata pendakwa raya bagi mengetepikan keputusan mahkamah yang dibuat pada 23 Sept lepas.


Pendakwaan turut menyatakan hakim berkenaan tersalah arah ketika menolak keterangan mengenai penghantaran rasuah kepada Zahid apabila membuat perbandingan fakta antara kes tersebut dengan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid.


Dakwa pendakwaan, hakim tersebut tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai pemberian atau penghantaran wang kepada Timbalan Perdana Menteri itu.


“Hakim bicara terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi pendakwaan bukan sahaja atas alasan rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.


Pada 23 Sept lepas, Hakim Mohd Yazid membebaskan Zahid, 69, yang juga Presiden Umno, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.


Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

BERNAMA