Home » Peningkatan kos operasi punca tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan, kata pengusaha
Berita Dalam Negara

Peningkatan kos operasi punca tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan, kata pengusaha

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, peningkatan kos operasi dalam pelbagai aspek termasuk kenaikan kos alat ganti menjadi faktor mengapa kadar tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peningkatan kos operasi membabitkan pelbagai aspek termasuk kenaikan kos alat ganti menjadi faktor mengapa kadar tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan, kata Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM).


Memetik Malaysiakini, Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan tambang termasuk kurangnya permintaan daripada ibu bapa dan gaji pemandu bas.


Bagaimanapun Rofik berkata, perkara itu tidak sama mengikut lokasi.


“Kalau ada satu taman perumahan ada lima orang sahaja nak beroperasi macam mana kalau dia punya tambang itu dia letak dalam RM70 ke RM150.


“Saya ingat kos dia mengatasi pulangan. Dia berpandu jumlah pelajar dan juga jarak sekolah.


“Kalau bawa dua tiga orang tak boleh tampung kos operasi,” katanya.


Kosmo! hari ini melaporkan kenaikan tambang bas sekolah mencecah RM300 sebulan di Pulau Pinang sehingga mengundang keluhan ibu bapa.


Rata-rata ibu bapa menyifatkan ia keterlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan, tambahan lagi ketika kos hidup meningkat.


Berkaitan gaji pemandu bas, Rofik berkata gaji perlu dibayar setiap bulan walaupun pada cuti sekolah.


“Pengusaha bas sekolah dapat pendapatan 11 bulan sahaja dalam tempoh setahun sedangkan dia bayar gaji pemandu setahun penuh.


“Dia kena bayar cukai dan insuran untuk setahun, semua setahun tapi pendapatan tak sampai setahun.


“Pengusaha pun tak boleh paksa ibu bapa untuk bayar tinggi, ibu bapa pun tak boleh paksa pengusaha untuk memberi perkhidmatan tanpa kos,” katanya.

EDITOR