Home » Lawatan PM ke Johor tingkat hubungan kerajaan persekutuan, negeri, kata timbalan menteri
Berita Dalam Negara Politik

Lawatan PM ke Johor tingkat hubungan kerajaan persekutuan, negeri, kata timbalan menteri

Perdana menteri juga diberi sambutan meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 masyarakat di Masjid Kampung Melayu Majidee ketika solat Jumaat, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu kepada pemberita selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, di sini, semalam.

JOHOR BAHRU: Kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk lawatan kerja kali pertama ke Johor selepas dilantik ke jawatan itu, diharap dapat meningkatkan lagi hubungan kerajaan persekutuan dan negeri.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata lawatan perdana menteri disambut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani.


Perdana menteri juga diberi sambutan meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 masyarakat di Masjid Kampung Melayu Majidee ketika solat Jumaat, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu kepada pemberita selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, di sini, semalam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menikmati sajian tengah hari bersama masyarakat dan pemimpin tempatan ketika lawatan kerja ke Johor semalam.


“Beliau memang maklum kepada saya untuk aturkan, kalau sempat untuk solat Jumaat dan dalam banyak masjid, Masjid Kampung Melayu Majidee dipilih kerana ada sejarah dan nostalgia Anwar merasmikan (pecah tanah bangunan baharu masjid itu) pada 1995.


“Saya juga berterima kasih kepada menteri besar kerana sama-sama menyambut kehadiran perdana menteri, dengan harapan supaya hubungan pusat dan negeri Johor dapat dipertingkatkan,” katanya.


Ketika ditanya mengenai perkara yang sempat dibincangkan ketika bersama Anwar, beliau berkata isu banjir di Johor merupakan antara perkara dibangkitkan ketika bertemu pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.


“Saya sempat mengangkat permasalahan isu banjir ini, dan sememangnya komitmen kerajaan pusat seperti banjir di Segamat memang kami akan teruskan.


“Cuma perincian itu akan menyusul, begitu juga isu berkaitan banjir kilat di bandar raya Johor Bahru,” kata Akmal yang juga pengarah strategi PKR.


Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam menikmati sajian tengah hari bersama masyarakat dan pemimpin tempatan di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96.

— BERNAMA