Home » Tempoh reman suspek kes dera kanak-kanak dilanjut
Berita Am Berita Dalam Negara

Tempoh reman suspek kes dera kanak-kanak dilanjut

Kesemua individu berusia 15 hingga 37 tahun tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi diiringi polis. – Astro AWANI

BATU PAHAT: Tempoh reman lima rakan termasuk kakak kandung kanak-kanak empat tahun yang meninggal dunia dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat dilanjutkan 7 hari sehingga 7 Januari depan.

Majistret, Siti Zubaidah Mahat membenarkan perintah sambung reman terhadap lima individu itu selepas tempoh reman suspek sejak 24 Disember berakhir hari ini.

Permohonan reman disambung bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sebelum ini, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak, namun diklasifikasikan di bawah 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia.

Kesemua individu berusia 15 hingga 37 tahun tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi diiringi polis.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat.

Selain itu terdapat kecederaan lain di tubuh badan mangsa termasuk kesan cucuhan api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

AWANI