Home » Kerajaan beri jaminan lindung IKS, kata Rafizi
Berita Dalam Negara Politik

Kerajaan beri jaminan lindung IKS, kata Rafizi

Rafizi Ramli berkata ketika ini kerajaan memutuskan tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan IKS bagi melindungi kumpulan itu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan terus melindungi dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) dalam berdepan perkembangan terkini Covid-19 di China.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ketika ini kerajaan memutuskan tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan IKS bagi melindungi kumpulan itu.


“Setakat ni pendekatan kerajaan seberapa yang boleh, dalam kemampuan kerajaan kita akan melindungi dan membantu IKS sebanyak mungkin.


“Tapi sudah tentu kena pantau dengan teliti. Rantaian nilai kena tengok dengan terperinci kerana ia akan bermula dengan pengimport, sama ada berlaku sesuatu di China atau negara lain,” katanya pada sidang media dalam majlis kenduri rakyat Parlimen Pandan.


Rafizi berkata demikian ketika ditanya cabaran ekonomi tahun depan terhadap Malaysia susulan perkembangan terkini Covid-19 di China.


Mengulas lanjut, Rafizi berkata situasi Covid-19 di China berada dalam pemantauan Kementerian Ekonomi sejak dua tahun lalu ketika pandemik melanda.


“China negara ekonomi kedua dunia, jadi sudah tentu kita lihat dengan dekat bagaimana perkembangan Covid di China sebab dalam dua tahun lepas banyak perkara berlaku di China beri kesan besar seluruh dunia termasuk Malaysia.


“Ia juga termasuk kenaikan mendadak harga barangan tertentu, kebanyakan aktiviti perkilangan,” katanya.

— Anne Muhammad