Home » Abang Jo tolak kompromi kuasa imigresen
Berita Dalam Negara Politik

Abang Jo tolak kompromi kuasa imigresen

Premier Sarawak Abang Johari Openg, menegaskan kuasa autonomi imigresen terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh dirunding semula. (Gambar Facebook Jabatan Penerangan Sarawak)

PETALING JAYA: Kuasa Sarawak terhadap pemilikan tanah, pelantar pesisir dan kuasa autonomi imigresen seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dirunding semula.


Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Sarawak tidak akan berkompromi terhadap perkara berkenaan, malah ia akan terus dipertahankan.


Beliau berkata, kerajaan Sarawak berusaha membangunkan negeri ini serta berharap hak Sarawak dalam MA63 diberikan semula.
“Ada perkara (dalam MA63) yang tidak boleh dibuat rundingan antaranya hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir.

“Ia adalah hak negeri Sarawak yang tidak boleh dirunding dengan orang lain.

“Selain itu, ialah kuasa imigresen, di mana kerajaan juga akan terus pertahankan kuasa autonomi ke atas imigresen selain pertahankan kawasan sempadan negeri ini,” lapor Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, di Stadium Perpaduan, malam tadi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Armizan Mohd Ali, berkata dasar berhubung prosedur kemasukan mana-mana pihak ke negeri itu termasuk warga Semenanjung ditentukan kerajaan negeri-negeri berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan “perkara mudah” dahulu sebelum terus melaksanakan perubahan institusi yang agak mencabar.

Zaid berkata, antara perkara mudah dimaksudkan itu termasuk membabitkan kemasukan rakyat Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Bolehkah perdana menteri minta kedua-dua negeri itu supaya membenarkan warga Semenanjung pergi sana tanpa keperluan IC (kad pengenalan) atau pasport?” katanya.

Katanya, peruntukan kuasa imigresen bagi kedua-dua negeri itu mengehadkan kemasukan penduduk Semenanjung hampir 70 tahun lalu mungkin ada asasnya, namun beliau tidak melihat keperluan pelaksanaan itu lagi pada masa ini.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment