Home » Kabinet bincang isu kemasukan pengembara asing esok, kata menteri
Berita Dalam Negara Politik

Kabinet bincang isu kemasukan pengembara asing esok, kata menteri

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berharap keputusan terbaik yang mengimbangi sudut sains, data dan persepsi masyarakat dapat dibuat berhubung isu kemasukan pengembara asing.

SEPANG: Sebarang keputusan berkaitan ketibaan pengembara luar negara, khususnya dari China perlu dibincangkan secara komprehensif dan diputuskan di peringkat Jemaah Menteri, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.


Beliau berkata, keputusan itu perlu dibuat secara bersama dengan mengambil input daripada pelbagai kementerian, bukan hanya Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia melibatkan aspek ekonomi, pelancongan serta keselamatan rakyat.


Katanya, beliau menemui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini bagi sesi taklimat berkaitan isu pengembara luar negara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.


“Esok, kita akan bentangkan fakta yang kita ada dan sebarang kemungkinan berkaitan.

Insya Allah kita harap ada satu keputusan terbaik yang mengimbangkan dari sudut sains dan data serta persepsi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).


Lonjakan ketara kes Covid-19 di China mengundang kegusaran banyak pihak, termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan mengambil langkah kawalan terbaik, seperti melakukan ujian saringan sebaik pengembara tiba di pintu sempadan negara.


Zaliha berkata, ketibaan pelancong asing di kedua-dua lapangan terbang itu dipantau tanpa sebarang diskriminasi setakat ini dan sekiranya didapati tidak sihat, mereka akan dihantar ke fasiliti kesihatan terdekat.


Menurutnya, beliau berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan buat masa ini berkaitan pencegahan Covid-19.


Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia mengambil langkah pencegahan disarankan KKM, iaitu pemakaian pelitup muka dan menerima dos penggalak, selain menjaga kesihatan kendiri.

— BERNAMA