Home » KKM pantau kemasukan pelawat berisiko COVID-19
Berita Dalam Negara Politik

KKM pantau kemasukan pelawat berisiko COVID-19

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (gambar) berkata terdapat varian baharu dari China yang telah ditemui sudah berada di negara ini dan perkara ini telah dikemukakan Ketua Pengarah Kesihatan.

MIRI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau secara ketat kemasukan pelawat dari China di semua pintu sempadan negara.


Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (gambar) berkata satu mesyuarat di peringkat Kabinet akan diadakan pada Rabu bagi mengusulkan beberapa cadangan kemasukan pelawat dari China.


“Ketika ini kerajaan sedang memantau rapi keadaan semasa kemasukan pelawat dari luar yang dijangka akan bermula 8 Januari ini.


“Kerajaan tidak dapat mensasarkan hanya satu negara sahaja memandangkan peningkatan COVID-19 berlaku di seluruh negara seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan China,” katanya dalam sidang media hari ini.


Menurutnya, beberapa pintu sempadan yang Prosedur Operasi Standard (SOP) hamppir sama seperti Malaysia iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand juga akan dipantau.


Lukanisman berkata terdapat varian baharu dari China yang telah ditemui sudah berada di negara ini dan perkara ini telah dikemukakan Ketua Pengarah Kesihatan.


“Langkah berjaga-jaga telah kita mulakan dan apa yang penting ialah masyarakat perlu terus mematuhi SOP KKM,” jelasnya.


Beliau menggesa individu yang layak untuk dos penggalak kedua vaksin COVID-19 segera mendapatkannya memandangkan kadar pengambilannya rendah ketika ini.


“Individu berumur 60 tahun ke atas dan individu di bawah 60 tahun yang mempunyai penyakit kronik serta sistem imun lemah layak mendapatkan dos penggalak,” tegasnya.


Lukanisman berkata pengambilan dos pengalak ini boleh dibuat menerusi janji temu di MySejahtera atau terus ke Klinik Kesihatan berhampiran.

EDITOR