Home » 7 ADUN PH Sabah tidak beri akuan bersumpah sokong mana-mana pihak
Berita Tempatan Politik

7 ADUN PH Sabah tidak beri akuan bersumpah sokong mana-mana pihak

“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020,” kata kenyataan media bersama ADUN-ADUN PH Sabah tersebut hari ini

KOTA KINABALU: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

ADUN-ADUN PH Sabah tersebut ialah Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Kenyataan Media Pakatan Harapan Sabah

“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang.

“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020,” kata kenyataan media bersama ADUN-ADUN PH Sabah tersebut hari ini.

Menurut kenyataan itu, jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada mereka, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir mereka selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada November 2022 yang lepas.

Pada 25 November 2022,
ADUN Pakatan Harapan Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” tegas kenyataan itu.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, terdapat ada pihak mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.

Kenyataan Media GRS

Namun Masidi turut memaklumkan, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin Kerajaan Negeri yang ada sekarang.

— EDITOR