Home » Pasport tiga negara Asia paling berkuasa tahun 2023
Berita Luar Negara

Pasport tiga negara Asia paling berkuasa tahun 2023

Jepun berada di kedudukan teratas dan penduduknya bebas mengunjungi 193 negara tanpa visa. – Toshifumi Kitamura/AFP/Getty Images

LONDON – Tiga pasport negara Asia menawarkan kebebasan perjalanan global lebih besar kepada pemegangnya berbanding negara-negara lain di dunia, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan suku tahunan terbaharu oleh firma penasihat kewarganegaraan dan kediaman global berpangkalan di London, Henley & Partners.

Menurutnya, warganegara Jepun menikmati akses tanpa visa atau dengan visa ke-193 destinasi di seluruh dunia sekali gus mendahului pasport Singapura dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatatkan 192 negara.

Sejak rantau Asia Pasifik mula membenarkan kedatangan pelancong pasca-pandemik Covid-19, orang ramai kembali cenderung menggunakan kebebasan perjalanan rentas negara.

Kadar perjalanan global kini mencecah kira-kira 75 peratus berbanding era sebelum pandemik, demikian menurut data terbaharu firma itu yang merujuk pada maklumat Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Beberapa negara Eropah menduduki senarai teratas di bawah tiga negara Asia tersebut.

Jerman dan Sepanyol terikat di tempat ketiga dengan 190 destinasi, diikuti Finland, Itali serta Luxembourg dengan 189 destinasi.

Austria, Denmark, Belanda dan Sweden berkongsi tempat kelima, manakala Perancis, Ireland, Portugal dan Britain berada di kedudukan keenam.

Menepati jangkaan, Afghanistan sekali lagi berada di kedudukan tercorot dalam senarai dengan warganegaranya hanya boleh melawat 27 negara tanpa visa.

K!ONLINE