Home » Perniagaan bertambah baik ketika pelancong China mula melawat Sabah
Berita Tempatan Politik

Perniagaan bertambah baik ketika pelancong China mula melawat Sabah

"Orang ramai sudah kembali, secara tidak langsung membuatkan perniagaan berkembang maju khususnya kepada penjaja makanan." - Christina

KOTA KINABALU: Para peniaga dijamin kerajaan negeri sedia menerima kedatangan pelancong China yang ramai selain tidak mengenakan Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan kepada pelancong antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, komuniti Cina menjelaskan sudah dua tahun Sabah tidak mempunyai wakil kaum berkenaan dalam Kabinet bagi menyuarakan pandangan golongan itu.


Beliau menerima maklum balas berkenaan ketika mengadakan tinjauan mesra di Tamu Gaya di sini, kelmarin.


“Selain menerima ucapan tahniah daripada para pengunjung dan penjaja di Tamu Gaya, mereka juga mengharapkan 2023 akan menjadi tahun yang baik dengan lebih ramai pelancong khususnya China datang ke negeri ini.
 
“Mereka juga berharap lantikan Menteri dari kalangan masyarakat Cina kali ini dapat menyuarakan pandangan serta aspirasi mereka kepada kerajaan,” katanya.


Selain itu katanya, ketika tinjauan mesra dilakukan di Damai Plaza, para peniaga juga menjelaskan pemain industri pelancongan dan profesional sentiasa memberikan sokongan kepada sektor terbabit.


Katanya, mereka juga tidak mahu pelancong dihalang untuk memasuki negeri ini.


Christina dalam pada itu menyifatkan Pasar Malam Makanan Api-Api telah menjadi destinasi tumpuan oleh para pengunjung pada malam Sabtu.


“Orang ramai sudah kembali, secara tidak langsung membuatkan perniagaan berkembang maju khususnya kepada penjaja makanan.


“Keadaan akan bertambah lebih baik apabila pelancong China tiba nanti,” katanya.
 
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, pasar malam berkenaan merupakan inisiatif beliau untuk menjadikan lokasi itu sebagai salah satu destinasi penting di sini pada Disember 2018.
 
Dalam perkembangan lain, Christina juga menjelaskan pelbagai isu turut dibangkitkan oleh peniaga di Kampung Air, Sinsuran dan Pusat Beli Belah Segama.


“Ia termasuklah caj parkir, keadaan jalan rosak di sesetengah kawasan dalam bandaraya, laluan pejalan kaki yang rosak dan najis burung yang jatuh ke atas kenderaan,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment