Home » Ahli Parlimen Sipitang Sahkan Empat MP Sabah Tidak Perlu Kosongkan Kerusi
Berita Tempatan Politik

Ahli Parlimen Sipitang Sahkan Empat MP Sabah Tidak Perlu Kosongkan Kerusi

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah memaklumkan bahawa beliau menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menerusi emel pada Isnin.

KOTA KINABALU – Empat ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah yang memaklumkan bahawa beliau menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menerusi emel pada Isnin.

“Ya, saya menerima salinan surat dari Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada Datuk Seri Dr Roland Kiandee yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Emel diterima hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, ditanya adakah keputusan itu membabitkan tiga lagi ahli Parlimen lain, beliau memaklumkan bahawa mereka turut menerima emel yang sama.

Sebelum itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan empat ahlinya.

Empat ahli Parlimen itu ialah Matbali, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Kesemua mereka adalah ahli Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS bagaimanapun, pada 10 Disember lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa kesemua pemimpin Bersatu Sabah telah keluar dari parti itu.

— ASYIKIN ASMIN

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment