Home » MAFS cadang wujudkan ‘one stop centre’ di Sabah
Berita Tempatan Politik

MAFS cadang wujudkan ‘one stop centre’ di Sabah

Dalam pada itu, Foong Hin berkata, bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara, MAFS menggariskan lima hala tuju untuk tahun ini.

KOTA KINABALU : Sebuah Pusat Sehenti bagi menempatkan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dicadang untuk diwujudkan di negeri ini.

Timbalan Menteri MAFS Chan Foong Hin berkata, ia termasuklah wakil jabatan yang akan menyelaras semua info terkini berkenaan inisiatif Kementerian dan Kerajaan Sabah berkenaan hal pertanian.

“Pusat ini juga akan dapat menjadi satu saluran bagi kita untuk mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat.

“Mana-mana langkah yang mendapat penerimaan baik akan kita teruskan, mana yang tidak baik, kita akan tambah baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bagi agensi di bawah MAFS di negeri Sabah di sini pada hari selasa ini.

Foong Hin berkata, pihaknya turut memberi penekanan bahawa pendekatan keseluruhan Kerajaan amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.

Katanya, warga Kementerian dan jabatan-jabatan perlu bergerak sebagai satu pasukan agar ianya akan dapat melakar lembaran baru dalam membangunkan bidang pertanian negara.

“Tekad Kementerian untuk memantapkan kerjasama dengan Kerajaan Sabah adalah dengan kesinambungan pendekatan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kementerian akan meneruskan galakan dan sokongan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, pembangunan infrastruktur, mahupun latihan kepada masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang agrokeusahawanan di Sabah

Dalam pada itu, Foong Hin berkata, bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara, MAFS menggariskan lima hala tuju untuk tahun ini.

Katanya, ia termasuklah memperkasakan industri akuakultur, memperluaskan penternakan lembu secara fidlot, memulakan penanaman jagung bijian (grain corn), mempertingkatkan penglibatan golongan belia dan memperkasakan institut latihan pertanian.

“MAFS juga akan memberi fokus kepada meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan memperkasakan institut latihan pertanian dalam misi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pertanian moden,” katanya. 

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment