Home » Wanita, enam lelaki ditahan terlibat tiga kes samun
Berita Tempatan Jenayah

Wanita, enam lelaki ditahan terlibat tiga kes samun

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan tujuh individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai terlibat dalam tiga siri kes samun pada 14 dan 15 Januari di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kesemua suspek berumur 21 hingga 36 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar ibu negeri dan Tuaran pada 15 dan 19 Januari.

“Hasil siasatan mendapati kejadian samun pertama berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah apartment membabitkan seorang mangsa wanita kira-kira jam 10.20 malam 14 Januari lalu.

“Mangsa yang juga pengurus jualan itu kehilangan wang tunai sebanyak RM15,000, dokumen penting serta barang berharga termasuk telefon bimbit selepas beg sandangnya dilarikan suspek.

“Dalam kejadian terbabit, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggang oleh rakan sejenayah dan anggaran kerugian dialami mangsa akibat kejadian ini adalah sebanyak RM18,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Zaidi berkata melalui operasi dan siasatan agresif oleh pasukan polis, dua suspek berjaya dikesan dan ditahan pada 15 dan 19 Januari.

Katanya pihaknya berjaya merampas kembali wang tunai RM2,500, dua telefon bimbit, dokumen peribadi milik mangsa serta sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian.

“Kejadian samun kedua membabitkan seorang pemandu e-Hailing yang disamun dua suspek di kawasan Manggatal pada jam 2.08 pagi 15 Januari lalu.

“Siasatan mendapati mangsa baharu menghantar rakannya di kawasan berkenaan sebelum ditahan dua lelaki dan salah seorang suspek bersenjatakan kayu memaksa mangsa untuk membuka cermin kenderaan.

“Suspek kedua merampas beg serta dompet mangsa dan melarikan wang tunai sebanyak RM70,” katanya.

Beliau berkata bertindak dengan kejadian dua suspek termasuk seorang wanita kemudiannya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian jenayah samun ini pada 15 Januari.

“Pada hari sama seorang lagi pelajar perempuan turut disamun di kawasan Sulaman Sentral kira-kira jam 8 malam.

“Mangsa yang bergelut dengan suspek mengalami kecederaan di bahagian muka selepas diseret oleh kenderaan suspek semasa cuba menyelamatkan telefon bimbit bernilai RM300 yang dilarikan suspek.

“Suspek berjaya melarikan diri bersama dua rakan sejenayah menaiki kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan pada 19 Januari di Tuaran bersama kenderaan yang digunakan semasa kejadian.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis juga berterima kasih dengan maklumat orang awam yang membantu menumpaskan suspek dan berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes samun dalam tempoh 24 jam,” katanya.

-utusanborneo

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment