Home » Peruntukan lebih RM9 juta untuk bantu OKU di Sabah
Berita Tempatan Politik

Peruntukan lebih RM9 juta untuk bantu OKU di Sabah

James bersama warga OKU . Beliau berkata, menerusi bajet Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun 2023, Ketua Menteri Sabah melalui Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 kepada semua PPDK di negeri Sabah.

Kota Kinabalu: Sebanyak RM9,397,986 diperuntukkan Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu orang kurang upaya (OKU) di negeri ini pada 2022.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, peruntukan itu diagihkan kepada 40 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam bentuk geran atau bantuan kewangan.


“Melalui Bajet 2022 tahun lalu, Kerajaan telah meningkatkan kadar agihan bantuan kepada OKU termasuk pemberian Bantuan Rawatan Pesakit Kronik RM500, Elaun Orang Kurang Upaya RM300 dan Elaun Pekerja Kurang Upaya RM450.


“Kementerian melalui peruntukan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA Sabah) menyediakan pelbagai kemudahan bantuan kebajikan dan khidmat sokongan bagi membantu OKU memaksimumkan potensi mereka dan seterusnya menikmati kehidupan yang lebih sempurna.


“Saya berharap jumlah peruntukan yang sama akan diterima PPDK pada 2023 yang dijangka diagihkan pada Mac tahun ini,” katanya.


James berkata, menerusi bajet Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun 2023, Ketua Menteri Sabah melalui Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 kepada semua PPDK di negeri Sabah.


“Setiap PPDK masing-masing akan menerima RM5,000 yang akan disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi tujuan membantu operasi harian PPDK.


“Ini termasuk pembelian alat bantu mengajar atau pemulihan, pembelian alat tulis, pembiayaan kos Laporan Kewangan Audit Bertauliah, penyelenggaraan dan pembaikan kecil, pembiayaan kos makan minum mesyuarat Jawatan-kuasa, elaun pengangkutan, penginapan dan lain-lain,” katanya.


Menurutnya, usaha itu jelas menunjukkan kerajaan sememangnya komited untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk golongan OKU.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mini Karnival OKU@PDK Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Khamis lepas.


Program itu diadakan bagi mempromosikan perkhidmatan PDK kepada masyarakat umum, di samping memberi ruang dan peluang kepada pelatih OKU, ibu bapa, penyelia, kakitangan dan ahli PPDK untuk melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah dan meraikan pelatih.


Selain itu, program ini mengetengahkan bakat OKU dan mempromosikan produk PDK di samping menggalakkan hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan syarikat korporat.


Berdasarkan statistik Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU), seramai 633,653 orang kurang upaya berdaftar dengan JKM sehingga 31 Disember 2022. Jumlah ini bersamaan 1.9 peratus daripada 33 juta jumlah penduduk di Malaysia.


Pendaftaran OKU di negeri Sabah ialah 44,178 OKU terdiri daripada OKU pendengaran (3,369), penglihatan (2,917), pertuturan (367), fizikal (10,468),  pembelajaran (18,477), mental (3,137) dan pelbagai (2,443).

— Clarence Dol