Home » Bekas ahli BERSATU Sabah dipelawa sertai Gagasan Rakyat
Berita Tempatan Politik

Bekas ahli BERSATU Sabah dipelawa sertai Gagasan Rakyat

Masidi berkata, penubuhan bahagian Gagasan Rakyat di negeri ini akan menggunakan 73 kawasan DUN berbanding 25 kawasan Parlimen yang digunakan sebelum ini.

KOTA KINABALU : Semua bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang sebelum ini mengistiharkan untuk keluar parti itu dipelawa untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keahlian bagi Gagasan Rakyat itu juga adalah terbuka kepada ahli langsung yang berdaftar bersama GRS.

“Mereka (bekas ahli BERSATU) terpaksa memohon untuk menjadi ahli Gagasan Rakyat. Kita sentiasa terbuka terutama kepada bekas-bekas ahli BERSATU untuk menyertai parti baharu ini.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin memilih haluan sendiri, kita ucapkan selamat berjaya tapi yang pasti ialah kita cuba sedaya upaya untuk mengumpulkan tenaga dan juga kekuatan keahlian khususnya bekas ahli BERSATU,” katanya di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelancaran parti baharu berkenaan, Masidi berkata, pihaknya akan memulakan dengan penubuhan di semua bahagian khususnya di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, penubuhan bahagian Gagasan Rakyat di negeri ini akan menggunakan 73 kawasan DUN berbanding 25 kawasan Parlimen yang digunakan sebelum ini.

“Bahagian ini kita akan buat mengikut DUN. Ini kerana kita ingin memberi peluang kepada seberapa ramai pemimpin baharu untuk dikemukakan sebagai pemimpin pelapis.

“Tumpuan kita juga adalah untuk memastikan potensi pemimpin muda ini akan dapat diketengahkan dengan mewujudkan lebih banyak bahagian-bahagian,” katanya.

Pagi tadi, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noormengumumkan akan mengetuai Gagasan Rakyat.

Hajiji berkata, parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini, dantelah diterima oleh GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu.

“InsyaAllah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai Ketua Menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari ADUN sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Rakyat,” katanya.

Hajiji berkata Gagasan Rakyat adalah parti sedia ada yang kinidiambil alih dan diketuainya.

GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku(STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu(USNO). 

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment